PENYERANG negara, Shahrel Fikri Md. Fauzi menerima tonik terbaik sebelum menyertai pasukan Selangor musim depan apabila merangkul anugerah selaku Penyerang Terbaik 2020 pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK20) Virtual malam kelmarin.
Shahrel yang lebih mesra dengan panggilan Eky, menjadi pemain pertama yang ditandatangani oleh skuad Gergasi Merah selepas kontraknya bersama Perak berakhir bulan lalu.
Jelas Shahrel, anugerah yang diraihnya itu sebagai satu pengiktirafan berharga untuknya selepas bergelut dengan prestasi pada musim lalu.
“Terima kasih kepada Perak kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk bersama mereka. Memang saya tidak menyangka trofi ini akan menjadi milik saya kerana kalau kita lihat, ada tujuh calon import yang sememangnya cukup berkualiti dan bukan mudah untuk ditandingi.
“Namun, saya bersyukur kerana usaha saya untuk menampilkan prestasi terbaik di atas padang berbaloi dan semestinya anugerah yang diterima ini menjadi penghormatan kepada saya untuk buat lebih baik pada masa hadapan.
“Kali terakhir saya menang pada tahun 2017 dan saya tidak tercalon pada 2019 kerana kurang menyerlah, jadi musim ini sememangnya musim yang cukup bertuah dan terima kasih banyak-banyak kepada semua yang terlibat terutamanya rakan-rakan sepasukan dan barisan jurulatih.
“Trofi ini juga saya tujukan kepada keluarga saya atas sokongan tidak henti dan pastinya penyokong juga yang turut sama mengundi untuk ABK20 ini”, katanya.
Shahrel membawa pulang dua trofi pada musim ini apabila turut dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Tempatan CIMB Liga Super 2020.