fbpx

Bintang harapan 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YONNYBOII, Azzam Sham dan Iman Troye.

MEMBUKA kalendar 2021, tiga artis muda berbakat besar, Yonnyboii, Iman Troye dan Azzam Sham berbicara tentang rencana tahun baharu yang diletakkan harapan menggunung untuk diterjemahkan sebaik mungkin.

AZZAM, Yonnyboii dan Iman menyerlah dengan identiti tersendiri. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Sakit itu superpower – Yonnyvboii

DIA antara penyanyi dan komposer muda tempatan yang berjaya mencipta gelombang fenomena tersendiri tahun lalu dengan banyak lagunya yang meniti di bibir peminat.
Biarpun tidak dihadam segelintir pihak apabila tidak satu pun karya besarnya tahun ini lolos ke Anugerah Juara Lagu ke-35, tidak dapat dinafikan Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin mempunyai bakat yang sangat luar biasa.
Yonnyboii, 23, percaya masanya akan tiba. Tinggal lagi, dia harus mempertingkatkan usaha membuktikan kepada khalayak bahawa indusri memerlukan insan sepertinya untuk terus berganjak dan sekali gus terus bergerak ke arah kemajuan.

YONNYBOII kini muncul dengan album E.P (Extented Play) berjudul Yonny yang memuatkan sembilan buah lagu termasuk Salahku, Pelik dan Bayang.

HIBGLAM: Sudah masuk tahun 2021. Adakah anda masih dihantui kegagalan tiga karya gagal ke AJL?
YONNYBOII: Kalau saya duduk di kerusi juri pun, saya pun mungkin runsing nak buat pilihan.
‘Kalau orang tanya saya kecewa atau tidak gagal ke AJL35, saya akan jawab kecewa bukan kerana saya gagal ke acara berprestij itu tetapi lebih kepada gagal melunaskan harapan orang terutama ibu bapa dan para peminat yang ingin melihat saya berjaya.
Impian utama saya hanya ingin tengok ibu bapa tersenyum dan berbangga dengan apa yang saya kerjakan.
Tidak mengapa, mungkin bukan rezeki saya tahun ini.
Apa pembaharuan yang akan anda bawa pada tahun baharu 2021?
Pertamanya, usia saya dalam bidang ini masih setahun jagung. Banyak lagi perkara yang boleh saya belajar dan pertingkatkan.
Tahun 2020 bergerak dengan sangat laju dengan pandemik Covid-19 yang memberi impak besar kepada semua orang.
Kalau sebelum ini nak membuat persembahan secara langsung, saya menggigil dan gementar, sekarang dah okey. Perlahan-lahan saya perbaiki.

Ada juga pihak yang berpendapat anda seorang yang kurang berdisiplin dan tidak serius ketika bekerja, apa komen anda?
Saya memang akui perkara itu (kurang berdisiplin) pernah terjadi. Salah saya juga kerana kalau sudah tahu akan lambat ke lokasi kejadian, mengapa tidak bergerak awal. Di Kuala Lumpur ini, kalau sudah tersekat di jalan raya, memang tidak boleh buat apa.
Itu juga antara perkara yang saya perlu perbaiki sebab kita tidak tahu pemikiran orang tentang kita, jadi sempena dengan tahun baharu, lebih baik kita muhasabah diri dan berusaha melakukan yang terbaik dalam setiap perkara.

Menghidap penyakit attention deficit hyperactive disorder (ADHD), bagaimana anda berkecimpung dalam industri hiburan yang penuh dengan cabaran, namun pada masa sama terpaksa berdepan realiti penyakit tersebut?
Saya sudah menghidap ADHD sejak kecil. Orang cakap saya pelik dan tidak mahu berkawan dengan saya.
Apa yang boleh saya cakap, sebagai penghidap ADHD, kita kena sentiasa sesuaikan diri dengan keadaan dan sekeliling
Benar, orang tak akan pernah faham apa yang kita rasa tetapi kita tak boleh terlalu tunjukkan kita ada masalah, sakit ataupun berbeza dengan orang lain.

Apa nasihat masyarakat di luar sana yang barangkali mempunyai masalah serupa, namun mempunyai impian yang besar dalam hidup?
Tuhan mencipta umat umat manusia dengan sempurna. Saya selalu percaya itu. Kita manusia bukan haiwan kita diberikan akal fikiran.
Gunakan semua itu dengan sebaik mungkin. Penyakit jangan kita ‘layan’ sebagai penyakit.
Biarpun kita sakit, kita masih boleh tersenyum. Teruskan hidup dan teruskan melangkah.
Kalau susah hati, kita cakap dengan seseorang, jangan menyendiri.
Kalau betul-betul ingin berjaya, dream big and have a lot of goals (bermimpi besar dan punya banyak matlamat).
Saya selalu fikir, orang miskin tak semestinya tak boleh beli kereta Lamborghini. Kalau kita sakit, anggaplah itu sebagai ‘superpower’ yang tak semua orang ada, kita sahaja yang ada.

SELAIN single kedua yang bakal menyusul, Iman Troye tidak menolak kemungkinan bergelar pelakon untuk tahun 2021 bergantung kepada tawaran yang diterima.

Iman Troye ingat pesan ibu

TAHUN 2020 menjadi momen paling berharga untuk dikenang penyanyi muda Iman Troye kerana salam pengenalannya dalam industri disambut positif peminat.
Tampil menerusi single hit berjudul Teman, ternyata percaturan awal Iman yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-18 pada 25 Disember lalu benar-benar meletuskan fenomena.
Baik dalam kalangan orang dewasa sehinggalah ke golongan kanak-kanak, ramai yang menggemari irama rancak Teman sehingga mencatatkan jumlah tontonan lebih 17 juta dalam platform YouTube.
Mensyukuri apa yang digapainya sepanjang 2020, Iman atau nama sebenarnya Iman Alyssa Shahabuddin merangka strategi baharu untuk tahun ini dengan merancang sesuatu yang lebih menarik.

HIBGLAM: Apa yang Iman boleh simpulkan untuk pencapaian sepanjang 2020 yang lalu?
IMAN TROYE: Alhamdulillah! Sebenarnya saya tidak pernah menyangka apa yang saya lakukan akan mendapat sambutan positif daripada peminat. Jujurnya, ini bukanlah apa yang saya sangka tetapi ternyata rezeki tidak pernah salah alamat.
Saya bersyukur untuk segala pencapaian dan kasih sayang daripada peminat sepanjang tahun lalu sehingga membuatkan single pertama saya diterima cukup baik. Ini semua hasil kerjasama daripada ramai pihak terutama kerjasama saya bersama komposer terkenal Ezra Kong untuk lagu Teman.

Jadi apa perancangan Iman untuk tahun ini pula?
Insya-Allah, ada sesuatu yang saya rancang untuk peminat. Untuk single seterusnya, saya merancang untuk mengeluarkan lagu kedua pada awal tahun ini. Cuma tidak dapat dikongsikan lagi buat masa sekarang sama ada saya akan beralih arah untuk mencuba lagu balada ataupun kekal dengan single rancak seperti Teman. Mungkin, saya juga akan berlakon? Kalau mahu tahu, kalian kena tunggu. Selain itu, ada juga kejutan lain, antaranya perancangan untuk menghasilkan lagu duet bersama penyanyi lain. Sama-sama nantikan.

Untuk mengekalkan momentum dalam industri bukan mudah, jadi apa formula anda bagi memastikan konsistensi karier sentiasa stabil?
Kalau ditanya soal untuk kekal berada di atas, populariti bukan yang paling utama bagi saya. Pendek kata, saya tolak ke tepi tentang perancangan untuk mengejar nama. Apa yang paling penting adalah niat berkarya. Kena ada keikhlasan dalam hati untuk buat orang gembira. Itu pesanan ibu yang saya pegang.

Bagaimana anda membahagikan masa, antara karier dan pengajian muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor?
Setakat ini semuanya berjalan lancar. Jadual belajar dengan kerjaya tidak pernah bertembung kerana situasi industri hiburan kini tidak ada banyak acara. Apa-apa pun, keluarga saya sangat mengutamakan pelajaran. Ibu dan ayah pesan, utamakan pelajaran dan pastikan kerjaya seni tidak juga mengganggu.

Apa yang Iman harapkan untuk tahun baharu 2021?
Semoga tahun ini kita semua dikurniakan perkara yang baik-baik sahaja. Kita tidak mahu perkara yang terjadi sepanjang 2020 iaitu Covid-19 menghantui hidup kita selama-lamanya. Lebih-lebih lagi kesannya sangat buruk seperti ekonomi merudum, industri hiburan juga tersekat. Jadi saya mengharapkan kedatangan 2021 membawa sinar baharu untuk kita semua. Pada masa sama, saya mengharapkan tahun ini dapat bertemu peminat selepas 2020 mengekang saya melakukannya kerana Covid-19.

Azzam Sham mahu jadi guru

AKUI bekas penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu, dia masih sedang mengenali hati budi kekasihnya, juga penyanyi Sheryl Shazwanie. Setakat ini, mereka selesa bersama.

KLISE tetapi setiap kali tibanya 1 Januari, pasti pelbagai azam yang terencana dalam fikiran terasa segera mahu dilunaskan.
Tidak kira azam untuk menjadi manusia yang lebih baik ataupun memasang impian untuk kurus, itu semua pilihan di tangan masing-masing.
Bagi juara Big Stage musim ketiga, Azzam Sham atau nama sebenarnya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham, dia juga punya rencana dan matlamat yang ingin dicapai dalam kerjaya serta hidupnya sepanjang 2021.

HIBGLAM: Azam tahun baharu yang ingin dicapai Azzam pada tahun 2021?
AZZAM: Bercakap soal azam, banyak sebenarnya yang ingin saya capai pada tahun ini.
Salah satunya sudah tentu berkaitan kerjaya seni sebagai penyanyi dan pelakon. Insya-Allah 2021 bakal menjadi tahun kebangkitan bagi saya. Banyak lagu yang bakal dikeluarkan tahun ini.
Bukan itu sahaja, saya juga berhasrat untuk kembali aktif dalam bidang lakonan dan pengacaraan seiring dengan nyanyian.
Menyentuh soal hidup pula, pasti setiap orang ingin menjadi insan terbaik dalam kalangan yang terbaik. Begitu juga saya.

Difahamkan, anda bakal menyambung pengajian ke peringkat ijazah, benarkah?
Ya, betul. Itu merupakan satu daripada perancangan saya pada tahun ini. Lagipun saya sudah ada diploma dalam bidang muzik, rugi kalau tidak sambung ke peringkat lebih tinggi.
Pendidikan amat penting tidak kira kepada sesiapa. Artis atau selebriti juga begitu.
Jika ada peluang dan ruang untuk menuntut ilmu secara formal, teruskan sahaja tanpa berlengah.
Saya juga memasang impian untuk bergelar pendidik, sekali gus menyumbang dan menabur semula ilmu yang dipelajari kepada generasi baharu.

Bagaimana dengan status terkini hubungan percintaan bersama Sheryl Shazwanie?
Bercakap soal hubungan, kami masih berkawan seperti biasa. Kami saling bertukar idea dan pendapat dalam apa jua perkara terutama nyanyian.
Dia memahami saya, begitu juga sebaliknya. Apa yang boleh saya katakan kami masih sedang mengenali hati budi antara satu sama lain.
Keluarga saya dan Sheryl juga banyak memberi semangat dan sokongan. Doakan yang terbaik buat kami. Jika sudah tiba masa, insya-Allah akan ada khabar berita gembira buat semua.

Kongsikan sedikit perkembangan terkini Azzam?
Alhamdulillah buat masa ini semua berjalan lancar walaupun ada beberapa perkara yang terpaksa ditunda rentetan Covid-19 yang melanda.
Saya baru meluncurkan sebuah single balada berjudul Cinta Jangan Pergi ciptaan Asfan Shah dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya dan sambutan yang diterima amat baik.
Jujur dikatakan, penyertaan dalam Big Stage 2020 ternyata membawa saya ke satu dimensi baharu yang tidak pernah dirasai sebelum ini.
Bermula daripada situ, banyak pengalaman dan perspektif yang lebih positif saya timba bagi menguatkan semangat untuk terus berjuang dan kekal relevan dalam bidang seni.

Apa istilah atau kata-kata yang melambangkan diri anda untuk lima tahun akan datang?
Jika diizinkan Allah, pada masa itu mungkin saya sudah bergelar seorang pendidik. Mungkin guru atau pensyarah dalam bidang muzik.
Pada masa sama, jika tertulis jodoh awal buat saya, barangkali saya sudah bertukar status daripada bujang kepada suami orang.
Paling penting, jiwa sebagai anak seni tetap mengalir dalam darah dan tidak akan sesekali pudar.
Nyanyian itu sebahagian daripada hidup saya. Manakan tidak, sejak berusia 12 tahun saya sudah berkecimpung dalam program nyanyian Idola Kecil bagi menggapai impian bergelar anak seni.

MUDA dan masih jauh perjalanan yang harus ditempuh. Dua perkara tersebut cukup disedari Yonny, Azzam dan Iman.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI