fbpx

Azam tahun baru perlu lebih realistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Menjelang tahun baru pasti ramai yang sudah memasang azam, menyenaraikan apa yang ingin dicapai pada tahun ini, malah mungkin ada yang bertekad mahu memperbaharui azam yang belum direalisasikan.

Pendek kata, menyenaraikan azam baharu menjelang tahun baru adalah perkara biasa kepada semua orang yang mahukan pembaharuan dalam hidup.

Bermacam-macam azam yang biasa kita dengar. Ada yang mahu menurunkan berat badan, mahu menabung untuk beli rumah, mahu beli kereta mewah dan mahu jadi pekerja cemerlang.

Apa sahaja perkara yang terlintas dalam fikiran akan dijadikan azam, tanpa dikira adakah azam itu dapat direalisasikan.

Perkara ini sering berlaku kepada sesiapa pun termasuk diri saya sendiri apabila impian yang dipasang itu terlalu banyak dan tidak semua dapat direalisasikan dalam jangka masa satu tahun.

Berdasarkan pengalaman diri sendiri, azam yang dapat direa­lisasikan boleh dikira dengan jari.

Ada beberapa lagi azam yang sejak bertahun lamanya belum berjaya ditunaikan.

Bertitik tolak daripada itu, saya sedar saya perlu mencari pendorong yang mampu untuk mendorong saya mencapai segala azam itu.

Menurut Pakar Sosial dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Datuk Mohammad Shatar Sab­ran, apabila menetapkan sesuatu matlamat, jangan sesekali memi­lih untuk menghimpunkan azam terlalu banyak sehingga tidak mampu melaksanakannya.

Katanya, mungkin dengan menetapkan beberapa azam sahaja ia boleh dicapai dengan strategi berkesan.

Malah, dalam beberapa azam yang ditetapkan itu, walaupun tidak mampu untuk mencapai semuanya, tetapi janganlah sampai meninggalkan semua sebaliknya perlu yakin mesti ada yang boleh dicapai.

“Semua orang kalau mahu berjaya, perlu ada destinasi ataupun target. Ianya bagi memastikan kita tidak kecewa apabila impian itu tidak mampu kita capai.

“Ada beberapa langkah yang kita boleh amalkan supaya segala azam yang kita tetapkan itu mampu dicapai. Pertama sekali, perlu realistik. Azam itu perlulah mengikut kemampuan dan mampu dicapai dalam tempoh setahun itu, kerana jika susah hendak dilaksanakan, perkara itu juga boleh menjadikan seseorang itu murung,” katanya.

Katanya, contoh yang boleh diambil ialah apabila seseorang itu menetapkan mahu menurunkan berat badan, individu itu perlu rancang berapa berat badan yang mahu diturunkan dan perlu juga kaji adakah target yang ditetapkan itu mampu dicapai dari sudut kesihatan dan sebagainya.

“Keduanya, setiap impian yang dicapai itu perlu juga dirujuk kepada jangka masa yang sesuai dengan agenda. Jangan sesekali letakkan target yang sebenarnya memerlukan jangka masa yang panjang dalam tempoh yang singkat.

“Setiap target itu juga perlulah selari dengan tindakan yang diambil dalam usaha untuk merea­lisasikan azam yang telah dirancang tersebut. Ini kerana jika tindakan itu tidak sama dengan target, itu yang menjadi faktor kegagalan dan boleh mendorong kepada rasa kecewa atau putus asa,” jelasnya.

Jelasnya lagi, langkah yang perlu diambil dalam mencapai azam ialah mengambil tahu dan faham akan keadaan semasa.

“Dalam usaha mencapai sesuatu, tidak salah untuk mula daripada langkah kecil. Jangan terlalu ghairah, kerana kehidupan kita adalah satu proses dan setiap apa yang dilakukan akan melalui fasa-fasa tertentu sehingga kita berjaya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI