fbpx

Teruskan legasi 40 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khidmat penghantaran makanan Mee Kuah Ketam Tokun disediakan di seluruh daerah Seberang Perai Tengah dan Kulim, Kedah buat masa ini.

SEBERANG PERAI – Meneruskan legasi perniagaan yang telah bertahan sejak lebih empat dekad lalu bukan tugasan mudah dan hakikat itu diakui sendiri oleh seorang usahawan makanan, Mohd. Hafizul Fadli Hatip, 38.

Selain itu, Mohd. Hafizul yang merupakan seorang bekas juruteknik kilang juga perlu menguruskan perniagaan nasi campur miliknya yang masih bertahan hingga ke hari ini.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga cahaya mata itu tetap memilih untuk menyahut cabaran mengambil alih perniagaan Mee Kuah Ketam Tokun yang diasaskan bapa mertuanya, Othman Kamu kira-kira sembilan tahun lalu disebabkan minat mendalam terhadap bisnes itu.

Berkat kesabaran serta kegigihannya, Mohd. Hafizul bukan sahaja berjaya mengukuhkan jenama tersebut, malah turut mengembangkan sayap perniagaan itu dengan menubuhkan sebuah pusat penghantaran tidak jauh dari kedai asal di Cherok Tokun, Bukit Mertajam.

“Sebenarnya, idea menubuhkan pusat penghantaran sudah lama memandangkan kami telah menjalankan khidmat penghantaran sejak dua tahun lalu, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana masalah kekurangan tenaga kerja.

“Selepas masalah itu ditangani dan kebetulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19 dilaksanakan baru-baru ini, permintaan yang diterima untuk khidmat penghantaran naik berkali-kali ganda,” katanya pada majlis pelancaran pusat penghantaran Mee Kuah Ketam Tokun di sini semalam.

Mohd. Hafizul menunjukkan mi kuah ketam yang menjadimenu utama di kedainya.

Ketika ini, sebanyak lima buah motosikal digunakan untuk tujuan penghantaran dengan menyasarkan daerah Seberang Perai Tengah serta Kulim, Kedah sebagai lokasi penghantaran utama.

Selain mi kuah ketam yang dijual bersama daging, udang, sotong atau ketam istimewa, menu lain yang boleh didapati di situ termasuk bihun dan kuetiau kuah ketam, pasembor serta set nasi bersama kari ikan, ayam masak merah, ayam goreng kunyit dan daging masak hitam.

Jelas Mohd. Hafizul, dia dibantu oleh isterinya, Hasnah Othman, 38, serta hampir 30 orang pekerja.

“Istimewanya bisnes mi kuah ketam ini, kami mengenakan harga sama kepada semua pelanggan sama ada mereka datang terus ke kedai atau mereka yang menunggu pesanan di rumah menerusi khidmat penghantaran percuma,” katanya yang kini menjual lebih 100 bungkusan menerusi khidmat penghantaran sehari.

Mohd. Hafizul berkata, dia berminat melebarkan sayap perniagaan ke sebelah pulau serta kawasan lain yang difikirkan berpotensi tinggi pada masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI