fbpx

Kerajaan kesal AS sekat kemasukan minyak sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kesal dengan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang sekali lagi menyekat kemasukan minyak sawit negara ke pasaran AS berikutan dakwaan penggunaan buruh paksa dalam industri terbabit.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sekatan itu dibuat tanpa merujuk kepada kerajaan Malaysia terlebih dahulu mengenai kesahihan dakwaan tersebut.

“Insiden ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan kerajaan kerana tindakan serupa pernah dilakukan ke atas FGV Holdings Bhd. (FGV) atas dakwaan yang sama dan telah disangkal oleh syarikat berkenaan.

“Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan besar ke atas prestasi kewangan dan operasi syarikat itu malah, Kerajaan AS telah mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas FGV,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, dalam isu terbaru yang melibatkan satu lagi syarikat iaitu Sime Darby Plantation Berhad (SDP), kementerian yakin syarikat itu juga akan membantah dan menolak dakwaan tidak berasas tersebut.

“KPPK berpandangan bahawa pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) sememangnya berhak untuk mengeluarkan WRO ke atas eksport minyak sawit oleh mana-mana pihak ke negara berkenaan.

“Bagaimanapun, KPPK tidak bersetuju dengan tindakan drastik yang dibuat oleh AS tanpa memberi peluang terlebih dahulu kepada syarikat untuk membuktikan bahawa dakwaan yang dilemparkan mungkin tidak berasas sama sekali,” katanya.

Jelasnya, KPPK mengakui bahawa pernah berlaku isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara, namun begitu, kes terbabit amat terpencil berdasarkan kajian yang pernah dilaksanakan pada tahun 2018.

“Hasil kajian itu juga telah dipanjangkan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada awal bulan lalu dan berdasarkan kajian tersebut juga, kerajaan sentiasa memberi peringatan kepada pihak industri supaya lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

“Bagaimanapun kerajaan melalui KPPK komited sekiranya tuduhan yang dibuat oleh pihak AS ini adalah benar, tindakan sewajarnya dan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat yang terlibat dalam isu buruh paksa ini,” tegasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI