fbpx

Ibu tunggal tetap tabah jaga keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAEZAH (kanan) menyuapkan makanan kepada Nor Farihan Salwani yang terlantar sakit akibat penyakit SLE di rumahnya di Kampung Kala, Gua Musang baru-baru ini.

GUA MUSANG – Demi kasih kepada anak-anak, seorang ibu tunggal tetap cekal membesarkan empat zuriatnya termasuk dua orang anak kelainan upaya (OKU) dan seorang yang kini terlantar sakit selepas disahkan menghidap penyakit radang sendi atau Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Faezah Hamid, 41, dari Kampung Kala di sini berkata, tanggungjawab besar itu perlu dipikul selepas dia kehilangan suami yang meninggal dunia tiga bulan lalu.

Jelasnya lagi, dia juga perlu membahagi masa dengan tugasan menjaga anak dan mencari rezeki untuk keluarganya.

“Bagi menampung keperluan keluarga, saya kini bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah RM20 sehari dan sentiasa berulang-alik ke rumah untuk memantau keadaan anak-anak.

“Saya sangat bersyukur ke­rana anak ketiga iaitu Nor Fatin Sarmila Ibrahim, 16, boleh membantu membasuh pakaian dan mengemas rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Kala di sini semalam.

Menurut Faezah, dua anak­nya, Mohamad Haikal Ikhwan Ibrahim, 18, menghidap penyakit saraf manakala anak bongsu, Mohamad Safiq Nasaruddin, 15, merupakan OKU lembam.

“Nor Farihan Salwani, 22, yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu rumah pula menghidap penyakit SLE sehingga mengakibatkan dia tidak boleh berjalan,” jelasnya.

Faezah berkata, Nor Farihan Salwani menghidap penyakit SLE sejak tiga bulan lalu selepas kematian suaminya, Ibrahim Senik akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Katanya, sebelum dikesan menghidap penyakit itu, Nor Fa­rihan Salwani menghadapi bengkak di kawasan muka, tubuh dan tidak lama selepas itu dia tidak boleh berjalan.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Jalinan Ikatan Kasih (JIK) Gua Musang yang diketuai pengerusinya, Shamsina Ahmad berkata, pihaknya tampil melawat Faezah baru-baru ini untuk memberikan bantuan asas bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Katanya, orang ramai yang bersimpati dengan Faezah boleh membantunya dengan memberi sumbangan menerusi akaun Bank Islam milik anak sulungnya bernombor, 0306-3020-4616-54 atau hubungi talian 017-8133296.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI