fbpx

Bask Bear Coffee perluas 100 outlet secara maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Loob Hol­dings Sdn. Bhd. (Loob Holdings) pemilik jenama Tealive yang berjaya menguasai pasaran minuman bubble tea di Malaysia, kini telah memperkenalkan Bask Bear Coffee (BBC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, cabang perniagaan baharu itu telah dimulakan sejak akhir tahun 2019 dan syarikat memiliki lapan cawa­ngan.

“Kami memiliki pelan pe­ngembangan yang baik untuk BBC pada tahun ini tetapi kerana wabak Covid-19 sehingga pe­nguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada bulan Mac lalu, segala rancangan tersebut terpaksa ditangguhkan.

“Ketika PKP, trend pembe­lian secara online menjadi pilihan masyarakat di seluruh negara dan syarikat mula mengintai peluang untuk menguasainya de­ngan meluaskan rangkaian BBC secara maya.

“Kaedahnya ialah kami meletakkan unit operasi di belakang unit operasi Tealive dan segala tempahan menu hanya boleh dibuat melalui aplikasi Bask Bear Coffee.

“Pada mata kasar, pelanggan tidak akan dapat melihat operasi BBC dalam cawangan Tealive tetapi sebenarnya mereka ada beroperasi di situ.

“Tempahan menu hanya boleh dibuat secara online dengan menggunakan perkhidmatan penghantar makanan seperti Grabfood atau Food Panda,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bryan menerangkan, melalui kaedah maya ini, syarikat dapat berjimat daripada segi kos pe­ngubahsuaian cawangan kerana ia hanya perlu menempatkan beberapa mesin pemprosesan untuk menghasilkan minuman kopi.

Syarikat juga dapat menjimatkan kos pekerja dan sewaan ruang.

“Sekali gus, penjimatan yang dimanfaatkan itu telah memberi peluang kepada syarikat untuk menawarkan diskaun yang baik kepada syarikat penghantar makanan.

“Dalam masa sama, pelanggan juga akan dapat menikmati potongan harga antara 15 hingga 35 peratus,” jelasnya.

Tambah Bryan, sehingga kini, BBC telah berjaya mengembangkan cawangan kepada 100 outlet secara dan jumlah tersebut bakal bertambah pada masa depan.