fbpx
GAMBAR HIASAN

Banjir ibarat pesta bagi rakyat Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

KAMPUNG Pak Itam, Bakong dekat Pasir Mas antara kawasan paling terjejas dalam gelombang pertama dan kedua banjir yang berlaku di Kelantan sejak hujung November lalu.

Air sungai berhampiran telah melimpah di kawasan itu sehingga menyebabkan banjir setinggi tiga meter berlaku di kawasan tersebut.

Paling mengejutkan, terdapat satu kawasan yang dilihat seperti tasik atau lombong yang luas, namun ia sebenarnya merupakan lapangan sawah padi.

Baru-baru ini, saya dan jurugambar, Zulhanifa Sidek membuat tinjauan mengenai banjir di kawasan itu. Kami terpaksa mengharung banjir dengan menumpang motosikal dan menaiki bot penduduk untuk ke kampung itu.

Pengalaman membuat liputan banjir di Perak sebelum ini tidak seperti di Kelantan. Negeri Cik Siti Wan Kembang mengalami banjir buruk hampir setiap tahun.

Dalam debaran hati, saya melihat penduduk termasuk kanakkanak amat tenang dalam mengharungi bencana di kawasan itu.

Dalam perbualan saya bersama bersama Penghulu Mukim Bakong, Mohamad Kamruddin Che Ngah sewaktu kami menaiki bot, dia memaklumkan bahawa penduduk sudah lali dengan kejadian banjir.

“Banjir ini umpama pesta buat kami. Setiap tahun kami lalui dengan tenang dan ini bukan satu masalah besar,” selorohnya.

Seorang lagi penduduk yang hanya dikenali sebagai Pok Him sempat memberitahu saya bahawa bot dan sampan juga merupakan pengangkutan utama penduduk di sini.

“Kalau ada tiga buah kereta di sini pun tidak berguna sekiranya tiada sebuah bot,” katanya.

Kebanyakan rumah penduduk dibina dengan struktur yang tinggi dan mereka enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Sekolah Kebangsaan Bakong.

Dengan struktur binaan kediaman itu, mereka masih boleh tinggal di rumah dan hanya bergantung kepada bot dan sampan untuk membeli makanan dan barangan dapur di Pasir Mas atau Kota Bharu.

Meskipun cuaca di Kelantan sudah kembali panas sejak seminggu lalu, kebanyakan penduduk tetap berjaga-jaga dengan banjir gelombang ketiga.

Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kelantan, Leftenan Kolonel Zainuddin Hussin, seramai 369 mangsa daripada 97 keluarga di empat daerah dipindahkan ke 12 PPS di negeri ini.

Katanya, bagi gelombang banjir kedua pada 17 hingga 26 Disember lalu, seramai 1,707 mangsa daripada 578 keluarga telah dipindahkan.

Ujarnya, penduduk di Kelantan dinasihatkan agar sentiasa bersiap sedia dengan banjir gelombang ketiga.

“Menurut laporan Jabatan Meteorologi, sebanyak enam episod hujan akan berlaku di Kelantan sehingga bulan Mac tahun depan.

“Setakat ini, kita sudah menerima empat episod hujan. Bagaimanapun, episod hujan di Kelantan masih terkawal berbanding Terengganu,” katanya.

Menurut Zainuddin, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh.

“Kita akui bahawa pengurusan bencana pada tahun ini berbeza, namun itu tidak menjadi penghalang buat APM Kelantan dalam menjalankan tugas.

“Melihat kepada pasca banjir gelombang kedua baru-baru ini, APM dapat menjalankan tugasan dengan sempurna mengikut garis panduan norma baharu yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

BERITA BERKAITAN