fbpx

Kemakmuran masyarakat faktor penentu keuntungan, kekal relevan institusi kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Institusi kewangan perlu sedar bahawa kejayaan dan kebolehan mereka untuk menjana keuntungan serta kekal relevan amat bergantung kepada kemakmuran masyarakat dalam jangka masa panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee berkata, pelanggan dan institusi kewangan hanya boleh berdaya maju dalam sebuah masyarakat inklusif serta berlandaskan penggunaan sumber semula jadi yang lestari.

“Dalam tempoh luar biasa ini, amat mustahak bagi institusi kewangan, terutamanya perbankan Islam untuk fokus kepada pe­ranan tradisional mereka dalam menggerakkan kecairan bagi ­menyokong ekonomi sebenar.

“Di Malaysia, bank telah muncul dengan pelbagai skim termasuk moratorium, bantuan bayaran balik pinjaman, bantuan pembayaran bersasar dan menjadi perantara bagi menyalurkan dana daripada kerajaan serta Bank Negara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Asia OnAir yang dianjurkan Islamic Finance News baru-baru ini.

Forum ini bertujuan untuk mengumpulkan pemain industri berbicara tentang isu berhubung penglibatan institusi kewangan Islam dalam menyokong ekonomi yang terjejas akibat pandemik.

Menurut Eqhwan, AmBank telah melaksanakan kerangka kelestariannya, yang mana strategi, aktiviti dan portfolio AmBank akan mempertimbangkan kesan persekitaran, sosial dan tadbir urus.

“Pandemik Covid-19 adalah peringatan untuk memikirkan dan mengarahkan semula beberapa arah strategi, dasar, segmen fokus dan tanggungjawab sosial korporat kami.

“Kami telah mempercepat agenda inklusi kewangan dengan menawarkan pembiayaan kepada segmen perniagaan pemula melalui AmBank Islamic SME Biz Start-up-i.

“AmBank BizRACE 3.0 dan BizCONFERENCES pula adalah platform pengembangan kapasiti untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang halal, Revolusi Industri 4.0 dan pendigitalan bagi mempersiapkan mereka dalam era pasca Covid-19,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI