fbpx

Keharmonian V Samsons

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN SAMSONS

SELEPAS tujuh tahun tidak mengeluarkan material terkini, band popular dari Indonesia, Samsons akhirnya melancarkan buah tangan terbaharu berjudul V.

Album kelima kumpulan berkenaan dilancarkan bersempena dengan simbolik angka lebih 17 tahun penglibatan Samsons dalam mengharungi industri muzik.

Samsons yang ditubuhkan pada 2003 masih dianggotai oleh lima anggota iaitu Ariadinata selaku vokalis, Irfan Aulia (gitar), Erik Partogi Siagian (gitar), Aldri Dataviadi (bass) dan Chandra Konde Christanto yang berada di posisi pemain dram.

Kumpulan yang popular menerusi lagu Kenangan Terindah menganggap pembikinan album V cukup istimewa memandangkan mereka telah bekerjasama dengan seramai 55 orang pemuzik orkestra daripada Budapest Scoring Symphony Orchestra.

Kesemua pemuzik orkestra yang terpilih terdiri daripada 40 pemain strings, tujuh pemain woodwind, tujuh pemain bass dan seorang perkusi yang sudah biasa membuat skor lagu untuk filem-filem Hollywood.

KUMPULAN Samsons terdiri daripada (dari kiri), Irfan Aulia, Aldri Dataviadi, Ariadinata dan Erik Partogi.

Justeru, tidak hairanlah jika nuansa muzik yang disajikan Samsons dalam album V terasa sangat dahsyat dengan pengisian bunyi yang sepenuhnya hasil sentuhan pemuzik orkestra.

Bagaimanapun, pembabitan pemuzik orkestra dalam muzik Samsons bukanlah sesuatu yang baharu untuk diperkatakan.

Terdahulu, menerusi album Penantian Hidup pada 2007, kumpulan itu pernah berkolaborasi dengan Sydney Philarmonic Orchestra.

Album V yang membawa maksud angka lima dalam huruf Roman tersebut memuatkan sebanyak 12 buah lagu terbaik khusus buat peminat yang ternanti-nanti karya terbaharu daripada mereka berlima.

Beberapa buah lagu sudah dilancarkan lebih awal antaranya Ternyata Cinta, Tuhan Tak Pernah Salah, I Love U dan Cinta Mati.

Sementara sebuah lagi lagu yang berjudul Jika Nanti bakal dilancarkan serentak dengan pelancaran album V.

Tema cinta

Menerusi album V, kumpulan yang berasal dari Jakarta itu tetap memberikan warna muzik pop rock dan balada sesuai dengan imej mereka selama ini.

Samsons juga masih mengangkat tema cinta sebagai senjata utama bagi penceritaan dalam lirik lagu-lagu mereka.

Sementelah, lagu berkonsepkan romantis sudah menjadi ‘makanan’ bagi Samsons walaupun tema percintaan boleh diintepretasi atau diterjemahkan ke dalam banyak hal secara universal.

Menyentuh mengenai garapan muzik pula, seperti yang sudah diperkatakan sebelum ini, komposisi lagu pop balada diperkemaskan dengan bunyi-bunyian ala orkesta yang menjadi paduan sempurna bagi karya Samsons.

Jadi, tidak hairanlah jika nuansanya menjadi megah dengan keharmonian muzik yang elegan tetapi tidak keterlaluan.

Album V dikeluarkan Universal Music Indonesia dan boleh didengari menerusi semua platform digital dan saluran YouTube Samsons.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI