fbpx

Selami derita rakyat Malaysia di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail menunjukkan keadaan sebelum pandemik Covid-19 apabila rakyat Malaysia dan Singapura bebas melalui Tambak Johor di Johor Bahru untuk melakukan pelbagai aktiviti harian. – GAMBAR HIASAN
SHARKAWI LONDING
WAKIL KOSMO! JOHOR

PENINGKATAN kes positif Co­vid-19 yang melanda negara kita kebelakangan ini memaksa kerajaan Singapura kembali menge­tatkan semula langkah rentas sempadan.

Syarat ini juga melibatkan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), satu skim kemudahan bagi pekerja di kedua-dua negara berulang alik setiap tiga bulan.

Pada mulanya Republik itu menyifatkan Malaysia sebagai sebuah daripada enam negara dan wilayah yang berisiko rendah dengan memendekkan tempoh Notis Keluar Rumah (SHN) kepada tujuh hari bermula 1 September dan menjalani kuarantin di kediaman sendiri.

Sebelum ini Singapura memerintahkan pelawat atau rak­yatnya yang memasuki negara itu perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Bagaimanapun, pada 23 November lalu, pelawat dari Malaysia perlu menjalani semula SHN atau kuarantin selama 14 hari di kemudahan yang ditetapkan kerajaan negara itu.

Mereka turut menetapkan pelawat perlu menjalani ujian calitan Covid-19, 72 jam sebelum membuat perjalanan masuk ke Singapura, malah kos calitan perlu ditanggung sendiri.

Atas faktor inilah ramai rakyat kita yang ‘terkandas’ di negara Kota Singa memilih untuk terus bekerja dan menetap di sana ekoran takut kehilangan kerja sekembalinya mereka ke tanah air.

Data tepat bilangan rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu ketika ini tidak dapat diperoleh, namun mengikut data Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, terdapat kira-kira 50,000 pasport diperbaharui bagi tempoh 10 bulan pertama.

Jumlah itu adalah dua kali ganda daripada tahun lepas.

Kerajaan Negeri Johor khususnya perlu membangunkan sebuah pangkalan data yang merekodkan jumlah pekerja Malaysia di Singapura secara terperinci dan menyeluruh.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, pangkalan data itu perlu merekodkan maklumat seperti jumlah yang kehilangan kerja selain kesukaran dihadapi mereka.

Katanya, pembangunan pangkalan data itu boleh dibuat secara kerjasama dengan pihak berwajib di Singapura.

“Sekiranya pangkalan data seperti ini dibangunkan, ia akan memudahkan inisiatif seperti bantuan diberi secara lebih bersasar.

“Setakat ini kita tidak mempunyai pangkalan data menyeluruh yang boleh dijadikan rujukan,” katanya baru-baru ini.

Beliau turut menyeru kerajaan negeri agar terus memberi bantuan kepada rakyat negara ini yang terkandas di Singapura sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa Mac lalu.

“Majoriti daripada mereka berhasrat untuk pulang tetapi disebabkan kos tinggi yang perlu ditanggung sendiri, hasrat itu dibatalkan dan kini hanya menunggu sehingga sempadan dibuka sepenuhnya.

“Jika mahu balik, mereka perlu mengeluarkan kos sehingga RM8,000 untuk pulang. Syarikat tempat mereka bekerja tidak akan menanggung kos itu selain turut berisiko kehilangan kerja,” ujarnya.

Pihaknya turut memaklumkan berdasarkan bancian yang dijalankan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Permas terhadap 3,000 keluarga pekerja Malaysia di Singapura, majoritinya berdepan pelbagai masalah.

“Berdasarkan bancian yang dibuat melibatkan masyarakat pelbagai latar belakang termasuk kaum, antara masalah dihadapi termasuklah perpisahan pasa­ngan suami isteri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI