fbpx

K2

Gua unik gamit pengunjung ke Dabong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FENOMENA God’s Light dalam Gua Keris memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung.

DABONG adalah satu daerah dalam Jajahan Kuala Krai, Kelantan mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi. Salah satu tarikan adalah beberapa gua yang boleh dilawati dan melakukan aktiviti lasak dan mencabar untuk dilakukan oleh para pengunjung yang bertandang ke situ.

Gua Ikan yang diuruskan oleh Majlis Daerah Dabong dikelilingi beberapa buah gua yang juga memiliki tarikan tersendiri seperti Gua Pagar, Gua Keris, Gua Gelap, Gua Manggis dan Gua Tembakau.

Namun begitu, hanya empat gua yang boleh dimasuki pengunjung selain Gua Manggis dan Gua Tembakau atas alasan tertentu yang membuatkannya tidak sesuai dikunjungi.

Baru-baru ini, Persatuan Malim Gunung Kelantan yang diketuai Presidennya, Yuzanei Jusoh @ Yusoff telah membawa satu rombongan daripada program Ekspresi Media Kelantan anjuran Cuti-cuti Malaysia seramai 15 peserta untuk menyusuri 3 buah gua iaitu Gua Pagar, Gua Keris dan Gua Ikan.

Tepat pukul 9 pagi, para peserta bersiap sedia di kompleks Gua Ikan untuk taklimat keselamatan dan perjalanan oleh Bukhari Mat dan Wan Zonnum Al Masri, jurupandu alam daripada Persatuan Malim Gunung Kelantan.

Tumpuan terarah lebih kepada Gua Keris yang kini menjadi bualan para pengunjung yang pernah datang ke situ yang mempunyai satu panorama indah yang digelar God’s Light.
Fenomena God’s Light adalah satu keadaan cahaya memasuki pintu atas gua dan memberi kesan khas semula jadi yang mengagumkan untuk dilihat dan dipotretkan sebagai kenangan.

Untuk sampai ke lokasi God’s Light, peserta perlu mendaki untuk masuk ke Gua Pagar, berdekatan Gua Keris.

 

NAMA Gua Keris diambil daripada bentuk batu besar yang terbentuk seakan-akan senjata tradisional orang Melayu.

 

Gua Pagar yang dilalui ini juga memberi pengalaman menarik yang mana terdapat fosil rumpai laut dan cengkerang hidupan laut.

Dikhabarkan suatu masa dahulu, daerah Dabong asalnya lautan dan penemuan fosil-fosil hidupan marin di dalam gua itu menjadi bukti untuk mengukuhkan teori tersebut.

Keluar dari Gua Pagar, laluan trek hutan perlu ditempuh sebelum sampai ke Gua Keris. Jarak perjalanan antara dua gua tersebut kurang dari lima minit, tetapi tanah becak dan licin selepas hujan pada malam sebelumnya menyukarkan sedikit perjalanan.

Satu bentuk batu besar yang terbentuk secara semula jadi terlihat seperti sebilah keris dapat dilihat sebaik masuk ke ruangan tengah Gua Keris. Namanya diambil sempena batu besar tersebut.

Pengunjung yang tiba di lokasi God’s Light lebih awal sanggup menunggu untuk melihat sendiri fenomena yang jarang boleh disaksikan dengan sabar.

 

BAWAH: Gua yang ada di daerah Dabong sememangnya unik dan menarik untuk diteroka.

 

“Kita menunggu cahaya masuk kerana semuanya terpulang pada nasib pada hari itu. Walaupun cuaca cerah di luar gua, tetapi jika matahari dilindungi awan, cahaya tidak masuk ke dalam gua.

“Ada juga pengunjung yang masuk ke gua ini sebanyak empat hari berturut-turut kerana tidak bernasib baik untuk melihat dan merasai sendiri keindahan panorama ini,” jelas Bukhari Mat yang mesra dengan panggilan Bob, seorang jurupandu alam berpengalaman.

Selepas 35 minit menunggu, akhirnya cahaya yang dinanti memasuki pintu atas gua dan memberi satu pemandangan menarik.

Cahaya yang masuk seperti suluhan lampu picit ke dalam ruang gelap di dalam gua.
Ramai peserta mengambil peluang untuk duduk di bawah cahaya itu dan merakam detik ‘keemasan’ dalam bentuk imej gambar dengan kamera masing-masing.

“Akhirnya saya dapat melihat sendiri ‘God’s Light’ dan saya sangat kagum bila dapat berdiri di bawah cahaya dan ia kenangan berharga dalam hidup saya,” kongsi Nurul Hanna Hussien Shah, seorang peserta yang dapat melihat panorama tersebut dengan mata sendiri.

“Berbaloi penantian selama 35 minit di dalam gua ini bila dapat menyaksikan sendiri God’s Light dan dapat pula memotret detik berdiri di bawah cahaya suluhan itu,” keterujaan seorang lagi peserta program yang sama, Muhammad Rifa’ie Affandi terserlah ketika berkongsi pengalaman manisnya.

God’s Light hanya bertahan selama setengah jam sahaja sebelum cahayanya mulai hilang daripada pandangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI