KOTA BHARU – Pengusaha durian Musang King di Kelantan tidak lagi perlu ke Raub, Pahang apabila kerajaan negeri telah bercadang untuk membina dua buah rumah sejuk beku bagi menyimpan tanaman itu awal tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, projek rumah sejuk beku itu dijalankan antara kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pertanian Kelantan di Tanah Merah dan Jeli.
Katanya, dua buah rumah sejuk beku untuk menyimpan durian Musang King itu dibina untuk menyimpan bekalan durian Musang King sebelum ia dieksport ke luar negara dengan kos hampir RM1 juta.
“Pembinaan rumah sejuk beku ini dijalankan di Tanah Merah dan Jeli kerana daerah itu merupakan antara lokasi perintis untuk baka tanaman Musang King di Kelantan.
“Sebelum ini, pekebun terpaksa menyimpan durian Musang King di rumah sejuk beku di Raub memandangkan tiada tempat pengumpulan hasil durian oleh pekebun,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi Dan Penutup Program Farmer Field School (FFS) Cantuman Durian, Jabatan Pertanian Negeri Kelantan 2020 di Pusat Latihan Pertanian Lundang di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 20 orang peserta telah menerima sijil dan enam daripada mereka dipilih oleh Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria sebagai peserta terbaik program FFS. – K! ONLINE














