fbpx

Usaha tanpa putus asa kunci kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
ZUBAIDAH IBRAHIM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BERPELUANG menemu bual Muhammad Nor Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dekk Mat sangat memberi inspirasi kepada penulis kerana pemuda yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan itu cukup gigih mencari rezeki dengan menjual nasi lemak sejak Julai lalu.

Tidak menyerah kalah kepada takdir apatah lagi meminta-minta, pemuda itu yang menjual Nasi Lemak Bujang Dekk’s membuktikan bahawa walaupun dilahirkan tidak sempurna se­perti orang lain, bukanlah alasan untuk dia berputus asa dalam hidup.

Oleh itu, apa pula alasan kita yang dilahirkan sempurna anggota badan, tetapi tidak mahu berusaha dan mengubah hidup?

Di samping kegigihan pemuda itu mencari rezeki, penulis cukup kagum dengan sikapnya yang suka bersedekah dan sangat mementingkan ibu.

“Saya sentiasa meminta ibu mendoakan dan memberi restu dalam apa sahaja yang dilakukan termasuklah ketika hendak memulakan perniagaan nasi lemak ini.

“Alhamdulillah, berkat doa ibu, penjualan nasi lemak ini semakin meningkat sehingga mencecah ribuan bungkus sehari,” ujar anak tunggal itu.

Kata pemuda itu lagi, dia tidak meletakkan keuntungan sebagai matlamat utama, namun cukup­lah dapat menampung perbelanjaan makan dan minum serta membantu ibunya.

Dekk Mat bukan sahaja menjadi bukti kegigihan orang kelainan upaya (OKU), tetapi dia juga membuktikan bahawa kejayaan pasti datang kepada mereka yang berusaha walaupun pada awalnya menempuh pelbagai cabaran.

Dalam pada itu, teringat penulis dengan luahan hati seorang pemilik restoran yang sukar mencari pekerja tempatan untuk be­kerja di situ.

“Saya bukan tidak mahu mengambil pekerja tempatan, tetapi orang kita terlalu memi­lih pekerjaan dan memberi pelbagai alasan sehingga pernah ada beberapa hari tidak datang bekerja.

“Oleh kerana mereka tidak datang bekerja, saya pula terpaksa uruskan semuanya dan ia sangat meletihkan,” cerita ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Ulasnya lagi, pekerja asing rajin bekerja dan tidak berkira sekiranya kita meminta mereka untuk melakukan apa jua tugasan.

Seorang pakar motivasi dari Amerika Syarikat, Dave Ramsey berkata, ketekunan dalam me­lakukan sesuatu adalah kunci sebuah kejayaan.

“Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran sehingga membuat anda berasa tidak terdaya tetapi jangan pernah berhenti mengejar cita-cita.

“Jatuh bangun dalam hidup adalah proses untuk membentuk anda sebagai seorang yang berjaya maka, nikmatinya dan teruskan melangkah sehingga sampai ke destinasi,” ujarnya.

Terangnya lagi, seseorang itu gagal bukan kerana kurang bijak atau tidak bernasib baik tetapi dia memilih untuk mengalah ketika di pertengahan jalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI