fbpx

Ranjau 2020 tetap menghiburkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
TENGKU SUZANA RAJA HAMAT, PENOLONG PENGARANG BERITA

DUNIA hiburan sering menjadi escapisme bagi kebanyakan orang yang mahu meredakan tekanan akibat hiruk-pikuk hal-hal serius dalam pekerjaan atau kehidupan seharian.

Bercakap tentang kerenah selebriti atau dunia hiburan adakala boleh menghilangkan masalah kemurungan, depresi atau seseorang individu yang antisosial, tidak mahu tahu hal dunia artis atau bencikan drama ibu mertua pukul menantu dalam televisyen menutup telinga daripada sama-sama tumpang ketawa bercerita tentang impak naskhah fenomena.

Dalam kalangan rakan-rakan sekerja misalnya, orang yang tidak tahu hal ehwal dunia artis boleh dianggap konservatif atau sejenis manusia buat hal sendiri. Populasi sebegitu biasanya tidak ramai, hanya satu daripada 20 orang mungkin.

Kecuali kepada wartawan hiburan yang kerjanya berkisarkan dunia artis, bagi khalayak biasa bercerita tentang artis sebenarnya tidak membawa banyak manfaat, sebaliknya sekadar menjadi penyumbang tular.

Paling hangat dan diperkatakan waima oleh si pekak muzik atau buta seni atau hanya hanya tengok televisyen bersama keluarga selepas pulang bekerja adalah isu finalis Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35).

Penulis secara peribadi menyifatkan penganjuran AJL yang diawali dengan Muzik-Muzik seterusnya Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM35) penuh ranjau, sementelah hampir menjadi ‘port’ kluster baharu Covid-19.

Semuanya gara-gara seorang penyanyi, Alif Satar membawa koronavirus ke pentas tersebut sehingga memaksa penganjuran episod ketiga SFMM35 tertunda. Rata-rata petugas dan artis terlibat harus menjalani ujian calitan dan kuarantin kendiri. Selain Alif yang positif Covid-19, dua lagi pemuziknya turut mengalami nasib sama.

Dalam kes ini, dunia hiburan ibarat padang sasar tempat semua pihak menyalahkan golongan artis dan stesen televisyen yang kononnya bebas berbuat apa sahaja. Ketika larangan perhimpunan diwartakan, artis dikatakan berseronok atas tiket program televisyen dan itulah cara cari makan.

Kecaman terhadap penganjuran aktiviti hiburan seperti Muzik-Muzik dan tidak terkecuali Gegar Vaganza adalah hak semua orang. Menjadi pengkritik tidak berbayar tentang sesuatu yang popular juga satu bentuk hiburan walaupun bil-bil tertunggak belum terbayar.

Saat senarai ke AJL yang ditunggu-tunggu diumumkan, khalayak sekali lagi naik marah apabila beberapa lagu dan komposer yang dilihat layak bertanding ke pentas AJL tidak terpilih. Lebih menyakitkan hati, si Ketua Juri SFMM35, Azmeer berkata lagu yang tidak terpilih tersebut merupakan lagu popular, jadi tidak layak bertanding.

Penjelasan Azmeer contohnya, berhubung kegagalan karya Yonnyboii ke AJL dilihat makan diri memandangkan sebelum ini Azmeer pernah berkata, lagu Jampi diangkat sebagai Juara Lagu AJL32 antaranya disebabkan populariti.

Mengecam keputusan juri SFMM35 tahun ini, menjadi antara penutup 2020 yang menyeronokkan untuk dibahaskan. Namun, seperti merudumnya sektor lain pada 2020 yang penuh ranjau, dunia hiburan setidak-tidaknya masih mampu menjadi penghibur hati kita yang walang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI