fbpx

Iktiraf telekomunikasi sebagai utiliti ketiga negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKKM) telah berjumpa dengan semua kerajaan negeri dalam usaha mengiktiraf telekomunikasi sebagai utiliti awam ketiga penting selepas air dan elektrik.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, Menteri Besar Johor telah pun mengiktiraf telekomunikasi sebagai utili ketiga pada 26 November lalu.

“Mesyuarat bersama Exco Kedah mengenai perkara itu pula telah diadakan pada 9 Disember lalu manakala mesyuarat bersama Kerajaan Melaka diadakan pada 14 Disember 2020.

“Melaka juga pada prinsipnya telah bersetuju bahawa telekomunikasi adalah sebahagian daripada utili asas,” katanya pada satu taklimat media berhubung Laporan Suku Tahunan Pertama Jaringan Digital Nasional (Jendela) melalui aplikasi Zoom hari ini.

Menteri KKMM, Datuk Saifuddin Abdullah pada 2 November lalu memaklumkan kesalinghubungan internet di negara ini perlu diletakkan sebagai utiliti awam ketiga sebaris dengan utiliti utama negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini mengumumkan peruntukkan RM7.4 bilion untuk memperluas perkhidmatan jalur lebar bagi tahun hadapan dan 2022.

Menurut beliau, jaringan telekomunikasi kini boleh dianggap sebagai utiliti ketiga, malah dalam suasana norma baharu, perkhidmatan secara maya sudah menjadi kelaziman.

Terdahulu, Fadhlullah Suhaimi berkata, sebanyak lima negeri kini berada pada status cadangan berhubung pengiktirafan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga.

Menurut beliau, negeri tersebut adalah Melaka, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu, manakala Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Selangor, Sarawak dan Sabah telah dimaklumkan tentang perkara itu.

“Kita ada 14 negeri dan setiap negeri ada pentadbiran tersendiri, maka banyak kerja perlu dilakukan untuk mereka berbuat demikian,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI