fbpx

Amaran cuaca buruk dan waspada di enam negeri hingga Isnin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jabatan Meterologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk (Jingga) di beberapa buah negeri bermula esok sehingga 21 Disember depan.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata, keadaan hujan lebat yang berterusan di beberapa kawasan di pantai timur Semenanjung itu berlaku berikutan musim monsun timur laut.

“Dalam tempoh tersebut, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Pada masa sama, satu sistem tekanan rendah telah terbentuk di tenggara Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat laut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan tersebut boleh menyebabkan kejadian hujan lebat, angin kencang mencapai kelajuan 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter terutama di kawasan perairan Sabah.

“Kawasan yang terlibat bagi amaran cuaca buruk (Jingga) ialah Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu dan Kuantan, Pahang.

“Sementara itu bagai amaran cuaca waspada (Kuning) sehingga 20 Disember ini melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu serta negeri Kelantan,” katanya.

Tambahnya, amaran sama turut diberikan di Pahang (Jerantut, Maran, Pekan dan Rompin); Johor (Mersing dan Kota Tinggi), Sabah : Pedalaman (Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) Kudat dan Labuan.

“Amaran Cuaca Waspada (Kuning) pada 20 sehingga 21 Disember 2020 untuk kawasan di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Miri dan Marudi) dan Limbang.

“Manakala kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, pedalaman Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub dan Bera) dan bahagian-bahagian lain di Sabah dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam,” jelasnya.

Katanya, keadaan tersebut berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI