fbpx

Wang zakat, baitulmal RM22 juta bantu asnaf terkesan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU Mohamad Rizam (kiri) menyerahkan sumbangan kewangan kepada Ab. Pattah di Desa Alam Shah, Kampung Jenarah, Pasir Puteh, hari ini.

PASIR PUTEH – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) telah mengeluarkan wang zakat dan baitulmal hampir RM22 juta bagi membantu golongan asnaf seluruh Kelantan yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19 sejak Mac lalu.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini, sebanyak empat fasa bantuan telah disalurkan kepada hampir 20,000 orang penerima yang terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga.

Menurutnya, Maik sentiasa menerima permohonan bantuan terutamanya dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah yang dihimpit kesusahan hidup.

“Pelaksanaan fasa keempat yang bermula hari ini melibatkan sumbangan sebanyak RM46,000 khusus kepada 82 keluarga yang masih dalam tempoh kuarantin termasuk penduduk yang berada di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi Kluster Huma di sini

“Senarai penerima diperoleh daripada Jawatankuasa Bencana Jajahan. Setiap keluarga akan menerima wang tunai sebanyak RM500 sebagai perbelanjaan selepas tamatnya PKPD nanti selain bekalan bungkusan makan untuk keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pengurniaan Sumbangan PKPD Kluster Huma di Desa Alam Shah, Kampung Jenarah di sini hari ini.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan menyerahkan sumbangan itu kepada Ketua Jajahan Pasir Puteh, Ab. Pattah Hasbullah untuk disampaikan kepada penduduk terbabit mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Tengku Mohamad Rizam berkata, Maik juga memperuntukkan sejumlah RM5,000 untuk pengurusan Madrasah Ad-Diniah al-Falahiah Kampung Dalam Huma yang melibatkan guru pondok dan pelajar yang terkesan dengan pelaksanaan PKPD.

” Sumbangan yang disalurkan Maik merupakan sumber zakat dan dana Baitulmal untuk meringankan bebanan keluarga yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan sepanjang mematuhi skop pematuhan PKPD,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI