fbpx

Mah Sing sedang kaji penyenaraian perniagaan pembuatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mah Sing Group Bhd. (Mah Sing) sedang mengkaji kemungkinan untuk menyenaraikan perniagaan pembuatannya yang ketika ini sedang rancak menghasilkan sarung ta­ngan getah.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, buat masa ini dua perniagaan teras­nya iaitu pembangunan hartanah dan pembuatan barangan plastik telah mencapai tahap matang serta diuruskan pasukan masing-masing.

Jelasnya, cadangan perniagaan sarung tangan getah akan memperkukuhkan bahagian pembuatan dan ia dijangka mula menghasilkan jualan seawal suku kedua 2021.

Ini akan membolehkan syarikat memanfaatkan harga jualan sarung tangan getah yang tinggi ketika ini.

“Perniagaan sarung tangan getah diunjurkan terus menghasilkan permintaan kukuh dan berterusan serta menjana pendapatan berulang buat Kumpulan.

“Kami juga melihat untuk menceburi bidang lain dalam industri penjagaan kesihatan dan jika berpeluang, meneroka kemungkinan untuk menyenaraikan bahagian pembuatan secara berasingan daripada Kumpulan untuk mencipta lebih nilai pada masa depan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kilang sarung tangan getah pertama Mah Sing kini sedang dibangunkan di Kapar, Selangor dengan kapasiti menghasilkan 3.68 bilion unit sarung tangan setahun untuk fasa pertama.

Menurut Hoy Kum, proses pembangunannya kini berada dalam landasan yang tepat de­ngan enam barisan pertama daripada 12 barisan pengeluaran di­jangka dapat beroperasi pada suku kedua tahun depan.

Tambah beliau, syarikat juga telah mendapatkan surat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar, selain pensijilan pendaftaran daripada Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA).

“Ini langkah ke hadapan buat kami dalam memenuhi permintaan sarung tangan global, dengan pensijilan daripada FDA adalah perlu untuk mengeksport sarung tangan ke Amerika Syarikat.

“Permintaan sarung tangan akan terus bertumbuh dalam pasca pandemik, dengan penggunaannya diunjurkan kekal tinggi bukan hanya dalam sektor perubatan, malah sektor makanan dan minuman, perhotelan dan pelancongan.

“Kami optimis dan berhati-hati bahawa situasi ini akan me­ningkatkan prestasi kewangan Kumpulan menuju ke hadapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI