PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) menasihatkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan di media sosial terutama membabitkan skim-skim pelaburan berbaur penipuan.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, baru-baru ini diumumkan bahawa permohonan program pengeluaran Akaun 1 KWSP i-Sinar akan dibuka kepada pencarum mulai 21 Disember ini.
Pada masa sama, katanya, terdapat iklan-iklan di media sosial dan dalam talian bagi memancing pencarum untuk mengeluarkan wang simpanan mereka supaya dilaburkan di dalam skim-skim berbaur penipuan.
“Justeru, semua pencarum diingatkan supaya menggunakan saluran rasmi bagi sebarang urusan KWSP iaitu di cawangan dan kios KWSP terdekat.
“Urusan juga boleh dibuat menerusi laman web rasmi i-Sinar, isinar.kwsp.gov.my serta aplikasi i-Akaun KWSP,” katanya menerusi kenyataan akhbar mengenai Laporan Laksana ke-33 yang dikeluarkan MOF semalam.
Tengku Zafrul berkata, beliau juga mengingatkan orang awam supaya berwaspada dengan isu penipuan dalam talian membabitkan pembayaran dan pembelian barangan di platform e-dagang.
Beliau berkata, dia ada menerima berita mengenai ‘scammers’ yang menggertak dan mengugut orang awam bagi mendapatkan wang selepas menperoleh maklumat peribadi menerusi pakej bungkusan yang dibuang.
“Justeru, orang ramai diingatkan supaya menjaga dan menyimpan maklumat peribadi dengan baik dan jangan mendedahkan nama login, kata laluan dan butiran bank kepada plarform yang tidak sah.
“Jika rasa tertipu segera laporkan kepada pihak polis dan bank anda atau agensi berkaitan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti untuk tindakan lanjut,” katanya. -K! ONLINE