fbpx

BNM sedia dana HTF-NIA bernilai RM1 bilion kepada PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor teknologi kini boleh mula memohon pembiayaan daripada dana Kemudahan Teknologi Tinggi–Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA) yang disediakan Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM1 bilion.

PKS yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM1 juta bagi tujuan modal kerja dan sehingga RM5 juta untuk perbelanjaan modal (capex) atau kombinasi modal kerja dan capex.

Kadar faedah ditawarkan ialah 3.5 peratus setahun bagi pembiayaan tanpa jaminan atau sehingga lima peratus setahun termasuk yuran jaminan untuk tempoh sehingga tujuh tahun.

Permohonan dibuka sejak kelmarin sehingga 31 Disember 2021 atau sehingga peruntukan habis digunakan.

Menurut bank pusat, PKS dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan berteknologi tinggi adalah antara kumpulan sasaran bersesuaian dengan matlamat bagi mencapai pembangunan jangka panjang.

Sebagai contoh perniagaan dalam sektor elektrik dan elektronik, aeroangkasa, farmaseutikal, teknologi maklumat dan komunikasi serta firma berasaskan penyelidikan dan kajian.

Selain itu, PKS yang terlibat dalam program penting kerajaan dan terlibat dalam penyelidikan pembangunan inovasi juga diberi keutamaan.

PKS yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan yang terdiri daripada bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan secara online atau berkunjung ke cawangan bank tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI