JOHOR BAHRU – Kes Covid-19 di negeri ini dilihat kembali terkawal apabila Johor hanya mencatat sejumlah 48 kes baharu semalam, berbeza berbanding jumlah yang dicatat dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, 24 daripada kes berkenaan berpunca daripada 19 kluster sedia.
Tambahnya, sementara itu 19 kes daripada saringan kontak rapat serta lima kes daripada lain-lain saringan.
“Jumlah kes terkumpul di Johor setakat semalam adalah 2,663 kes dengan sejumlah 1,632 kes iaitu 61.3 peratus dilaporkan telah pulih.
“Setakat semalam juga, jumlah kluster aktif terkumpul di negeri ini kekal sebanyak 19 kluster,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Antara kluster aktif tersebut termasuklah Kluster Gemilang, Kluster Kempas, Kluster Langkasuka, Kluster Makmur, Kluster Kiambang dan Kluster Batu 7. -K! ONLINE