SEAWAL pukul 8 pagi, Rosnizan Md Nawi, 39, sudah berada di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur untuk bertemu dengan rakan-rakannya yang lain di situ seperti dijanjikan.
Tujuan mereka berkumpul di situ adalah untuk melakukan aktiviti kayuhan santai di sekitar ibu kota.
Seusai rakan-rakannya lain hadir mereka yang mengenakan pakaian bertemakan denim pada hari itu mula mengayuh basikal masing-masing.
“Saya baru lagi dalam aktiviti basikal ini. Sebelum ini hobi saya lebih kepada melancong. Tetapi disebabkan pandemik Covid-19 yang menyukarkan saya untuk melancong, saya telah mencuba untuk melakukan aktiviti berbasikal.
“Setelah mencuba saya ternyata jatuh cinta dengan aktiviti ini. Boleh dikatakan kini masa saya banyak dihabiskan dengan berbasikal,” jelasnya yang juga merupakan usahawan yang menjual tudung wanita.
Dia yang mesra dengan panggilan Izan menjelaskan, setiap minggu dia bersama rakan lain menunggang basikal mini velo jenis Alex Moulton untuk melakukan aktiviti tersebut.
Izan mengakui aktiviti berbasikal ternyata memberi kepuasan yang tersendiri buatnya.
Atas sebab itu, dia tidak kisah untuk berbelanja hampir RM30,000 bagi mendapatkan basikal Alex Moulton.
“Saya baru sahaja membeli basikal mini velo jenis Alex Moulton ini kerana ‘diracun’ oleh rakan-rakan yang turut menggunakan basikal yang jenis sama.
“Sebelum ini saya sering menggunakan basikal lipat tetapi setelah mencuba basikal mini velo Alex Moulton ini saya rasa lebih selesa untuk membawanya,” bicaranya yang turut menyertai komuniti basikal mini velo.

Dalam pada itu, bagi Mohd. Firdaus Md Rawi, 35, menjelaskan mini velo merupakan sebuah basikal yang menggunakan tayar bersaiz 20 inci.
Menurutnya, ada pelbagai jenama basikal mini velo antaranya Alex Moulton, Java dan lain-lain lagi.
“Basikal mini velo ini bersaiz mini dan ada yang boleh dilipat dan tidak boleh dilipat.
“Alex Moulton merupakan salah satu basikal mini velo yang mempunyai peminatnya tersendiri,” katanya.
Tambahnya, harga basikal mini velo jenama Alex Moulton boleh dikatakan agak mahal.
Dia sendiri telah berbelanjakan hampir RM20,000 bagi mendapatkan basikal tersebut.
Alex Moulton merupakan pengeluar basikal yang ditubuhkan pada tahun 1962 oleh Dr. Alex Moulton.
Basikal ini unik kerana mempunyai ciri-ciri suspensi pada bahagian depan dan belakang serta reka bentuk badan yang boleh dipisahkan dua.
Mohd. Firdaus menjelaskan, Alex Moulton ini juga mudah untuk dibawa ke mana-mana kerana saiznya yang kecil.
“Basikal jenis ini muat untuk dibawa masuk ke dalam kereta kerana ia boleh badannya boleh dipisahkan kepada dua.
“Walaupun saiz basikal ini kecil prestasinya setanding basikal-basikal jenis road bike yang mana mampu digunakan untuk kayuhan jarak jauh,” jelasnya.
Tambahnya, basikal mini velo sesuai untuk digunakan untuk aktiviti kayuhan secara santai mahupun kayuhan jarak jauh.

Sementara itu, Mohd. Firdaus mengakui basikal mini velo jenis Alex Moulton sukar untuk didapatkan di negara ini.
Kedai-kedai basikal jarang menjual basikal jenis itu dan kebiasaanya ia dibeli terus dari luar negara oleh pengumpul basikal tersebut.
“Saya sendiri membeli badan basikal ini dari seorang pengumpul basikal jenis ini dari Britain.
“Kebiasaannya basikal ini paling murah sekitar RM10,000. Itu pun dalam keadaan yang tidak baik dan pembeli terpaksa membinanya semula,” jelasnya.
Bagi setengah orang apa yang dilakukan oleh Mohd. Firdaus mungkin membazir kerana sanggup berbelanja wang yang banyak untuk sebuah basikal.

Tetapi baginya disebabkan minat dia tidak kisah untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, Pengasas Komuniti Basikal Mini Velo Malaysia, Mohd. Rahimi Rashid menjelaskan, komuniti itu telah diasaskan ada tahun 2017.
Jelasnya, ketika awal-awal ditubuhkan komuniti itu disertai seramai 10 orang sahaja.
“Tetapi jumlah itu semakin bertambah apabila kami sering bertemu dan berkayuh bersama-sama. Ada yang sanggup menjual basikal mereka untuk mendapatkan basikal mini velo.
“Komuniti ini terbuka untuk apa jua jenama basikal mini velo dan bukan terhad untuk jenis Alex Moulton sahaja,” jelasnya.
Kayuhan menggunakan basikal mini velo adalah lebih santai dimana tidak memerlukan pakaian khusus.
Mohd. Rahimi menjelaskan, setiap minggu mereka akan berkayuh dengan tema pakaian tertentu.
“Kami sering mengadakan kayuhan santai pada hujung minggu beramai-ramai. Kadang-kadang kami bersama dengan komuniti basikal lipat berkayuh bersama-sama.
“Baru-baru ini kami ada berkayuh ke Air Terjun Kemensah di Selangor beramai-ramai,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Rahimi menjelaskan, Alex Moulton merupakan basila mini velo yang mempunyai keunikannya tersendiri.
Sebelum ini dia ada mencuba beberapa jenis basikal daripada jenama lain, tetapi jiwanya lebih kepada Alex Moulton setelah mencuba basikal tersebut.
“Walaupun basikal ini bersaiz mini, ia mempunyai ketahanan tersendiri, di samping mudah untuk dibawa ke mana-mana,” jelas Mohd Rahimi.
Tambahnya, basikal Alex Moulton yang paling mahal dimiliki oleh salah seorang ahli komuniti berharga RM150,000.
Sementara itu, bagi Norita Mohd. Noh, 58, dia menyertai komuniti basikal mini velo sebagai salah satu cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan aktiviti riadah.
“Saya mengakui melalui aktiviti berbasikal, semakin sihat dan cergas.
“Setelah bersara kini saya mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan aktiviti ini.
“Kebiasaannya minimum tiga kali dalam seminggu saya pasti melakukan aktiviti berbasikal,” jelasnya.
Norita turut memilik sebuah basikal Alex Moulton berharga RM40,000.
Jelasnya, dia membeli basikal tersebut setelah terpengaruh dengan salah seorang rakannya yang turut memiliki basikal jenama sama.
“Basikal yang saya miliki adalah edisi terhad sempena sambutan 50 tahun Alex Moulton.
“Dengan basikal ini, juga saya pernah melakukan kayuhan sejauh 200 kilometer dari Kuala Selangor ke Teluk Intan,” katanya.














