LOS ANGELES – Syarikat penerbitan Disney mengesahkan pelakon popular Hollywood, Harrison Ford bakal kembali memegang watak ikonik Indiana Jones dalam siri kelima filem berkenaan.
Ini bermakna Ford dijangka membawa watak sama sejak filem pertama daripada francais itu mula diterbitkan lebih 40 tahun lalu.
Dalam satu ciapan di Twitter kelmarin, Disney memberitahu naskhah itu akan diterbitkan oleh salah sebuah produksi kendalian mereka iaitu Lucasfilem dan dijangka menemui kumpulan peminat pada Julai 2022.
Gergasi hiburan itu turut mengesahkan filem berkenaan sudah memasuki fasa praproduksi dalam satu pembentangan kepada kumpulan pelabur baru-baru ini.
Agensi berita CNN kelmarin melaporkan Ford pernah mendedahkan pembikinan filem tersebut semasa beliau hadir sebagai tetamu rancangan temu bual bersama Ellen DeGeneres, sekitar Februari lalu.
Aktor berumur 78 tahun itu mendedahkan bahawa produksi filem terbaharu Indiana Jones akan bermula pada tahun ini.
“Ini sesuatu yang amat menggembirakan. Saya teruja. Indiana Jones ialah karakter yang sangat menyeronokkan untuk dilakonkan,” katanya.
Filem terakhir daripada francais itu ialah Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull tahun 2008 yang muncul hampir 20 tahun selepas filem ketiga, Indiana Jones and the Last Crusade terbitan 1989.
Filem pertama, Raiders of the Lost Ark, disiarkan pada 1981 dan diikuti oleh Indiana Jones and the Temple of Doom pada 1984. – Agensi














