SEBAHAGIAN besar lagu Purnama nyanyian penyanyi berbakat besar Naim Daniel memberi pengertian kepada penulis bahawa, hanya ada diri anda sendiri yang faham kesengsaraan yang terbeban.
Benar, kita boleh berkongsi masalah dengan orang lain tetapi mereka tidak berada di tempat kita dan mereka tidak akan pernah memahami kondisi kita sepenuhnya. Pada akhirnya, kita mengambil solusi mengatakan, ‘saya okey’, walhal secara realitinya, kita berperang dengan masalah sama.
Hidup dalam seribu kelukaan tanpa darah, tiada bernanah dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar, itu antara punca kecelaruan, sehingga menjejaskan kesihatan mental yang jangan sesekali dipandang enteng. Semua itu antara yang terungkap oleh Naim.
Tidak lama selepas Lara dikongsikan, Naim muncul dengan single terbaharu, Purnama. Sejujurnya, lagu ciptaan sepenuhnya Amzar Razqa dan Naim sendiri itu memang sebuah balada berkualiti.
Secara peribadi buat penulis, intro atau permulaan muziknya sahaja mudah berjaya meresap ke jiwa terutama saat membiarkan dentingan piano dan tiupan seruling menyatukan membentuk sebuah perasaan hebat.
Komposisi
Apa yang bagusnya tentang Naim, dia tahu bunyi yang bagaimana hendak dikongsikan kepada pendengar. Biar dunia sekarang dipelopori muzik hip hop dan jalur sebegitu, dia membuktikan, bikin lagu berentak perlahan pun boleh ‘pergi’ kalau kena gayanya.
Dari segi komposisi muzik, Purnama teradun secukupnya, terutama dari segi melodi, rentak dan kedinamikan rentak.
Bahagian korus juga teradun dengan bijak. Bijak di sini bermakna Naim memang sangat arif tentang bentuk korus yang mudah dihadam, sekali gus melekat dalam minda pendengar.
Penulis yakin, ramai komposer di luar sana sangat peduli bahawa korus adalah bahagian paling penting dalam pembikinan sesebuah lagu. Korus ialah nadi karya.
Menerusi Purnama, perihal tersebut direncanakan cukup cemerlang.
Dari segi listrik vokal, kita semua tahu Naim bukan tergolong dalam kategori ‘vokal powerhouse’ namun apa yang boleh dijanjikan menerusi nyanyiannya dalam Purnama adalah kemerduan dan emosi yang mahal.
Penulis tidak tahu pendapat orang lain tetapi mendengar lagu berkenaan seolah-olah membawa semula kepada kegemilangan Sumpah tahun lalu yang berjaya melonjatkan karier Naim sebagai seorang penyanyi. Sepertinya Purnama mempunyai ‘DNA’ atau roh yang sama seperti Sumpah.
Berbeza dengan Sembah yang dilihat sedikit lain ‘warna’ muziknya, namun masih setakat ini, kesemua lagu yang pernah dilancarkan Naim tiada satu pun tidak enak didengar.
Keseluruhan, Purnama menjadi sebuah lagi karya balada penyanyi tempatan yang memasuki senarai kegemaran ‘playlist’ penulis.
Penulis ingin merangkapkan sepotong pendapat peribadi yang terbuku di hati usai mendengar Purnama.
“Manusia boleh hilang hidup sekelip mata dengan hanya satu insiden. Mungkin mudah untuk diucapkan di bibir tetapi, berdamailah dengan takdir, di situ adanya jalan bahagia.”