fbpx

K2

Bertarung tiga jam jinakkan pari 103 kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AWANG SEMANA (depan) berjaya menaikkan ikan pari minyak atau pari Thailand seberat 103 kg di Kuala Baram, Miri, tahun lepas.

MENAIKKAN ikan pari terutamanya yang bersaiz besar ketika memancing merupakan antara detik yang paling mengujakan buat kebanyakan kaki pancing.

Apa tidaknya, ikan pari sememangnya diketahui sebagai antara spesies yang terkenal dengan ‘semangat juang tinggi’ ketika menyambar umpan sehingga boleh mencabar kemampuan serta kesabaran pemancing.

Ditambah dengan kombinasi lain seperti berat, bentuk badan serta keupayaannya untuk memekap di dasar air, semua itu sudah cukup untuk membuat pemancing memerah keringat semasa menarik ikan tersebut ke gigi air.

Itu pengalaman yang sering dihadapi oleh seorang pemancing tegar, Awang Semana Awang Halil, 36, atau lebih dikenali sebagai Laksamana Pari dalam kalangan kaki pancing tegar lain.

Menurut Awang Semana, nama timangan Laksamana Pari itu diberikan oleh rakan-rakannya kerana dia seperti seorang pahlawan laut yang kerap memperoleh ikan pari sebagai habuan ketika turun memancing.

 

PARI benting, talang dan pari tanjung antara spesis ikan yang berjaya dinaikkan oleh Awang Semana dan rakan-rakannya ketika memancing berhampiran Tanjong Lobang, Miri baru-baru ini.

Hal ini kerana katanya, dalam tempoh seminggu, secara puratanya, tiga ekor ikan pari pelbagai spesies ‘tewas’ di tangannya.

Berkongsi pengalaman memancing ikan pari selama lebih daripada 10 tahun kata Awang Semana, antara momen paling tidak dapat dilupakannya adalah kejayaan menaikkan pari minyak atau pari Thailand seberat 103 kilogram (kg) di Kuala Baram, Miri, Sarawak tahun lepas.

“Ikan itu pada mulanya saya naikkan seorang diri tapi kemudian beberapa rakan yang berada di lokasi ketika itu turut sama membantu.

“Disebabkan saiznya yang besar itu juga, maka kami terpaksa mengambil masa hingga tiga jam untuk mengangkat ikan berkenaan,” katanya baru-baru ini.

Ujar Awang Semana, kejayaan itu bagaimanapun terpaksa ‘dibayar’ dengan harga yang agak mahal apabila otot lengannya disahkan pecah atau koyak semasa berhempas-pulas menaikkan ikan pari berkenaan.

Ekoran itu, dia terpaksa berehat daripada sebarang aktiviti memancing selama seminggu selepas kejadian tersebut.

Bagaimanapun, pengalaman menyakitkan itu langsung tidak pernah ‘membunuh’ semangat anak kelahiran Sri Aman, Sarawak itu untuk terus memburu ikan di laut khususnya spesies yang digemarinya, pari.

 

IKAN pari tanjung atau pari ayam antara spesis ikan pari yang sering dinaikkan oleh Awang Semana dan rakan-rakan ketika memancing.

 

“Ikan pari yang selalu saya dapat biasanya adalah pari tanjung atau pari ayam yang mungkin di sesetengah tempat, sebutan namanya mungkin agak berbeza.

“Pernah juga saya dapat pari bintik. Cuma, pari harimau sahaja belum pernah mengena lagi setakat ini,” katanya yang memberitahu, pari bintik dan pari harimau merupakan antara spesies yang paling agresif khususnya di perairan negara ini.

Ujarnya, sepanjang memancing ikan pari juga, dia dan rakan-rakan sentiasa berjaga-jaga agar tidak terkena sengatan ikan itu yang jika tersilap langkah boleh mengundang maut.

“Sengat biasanya akan dipotong dengan menggunakan playar dan kami juga perlu menjaga jarak dengan selamat ketika berdepan ikan tersebut,” katanya yang turut bernaung di bawah pasukan memancing yang dikenali sebagai Borneo Surfcasting Hunter.

Mengulas lanjut mengenai ikan yang dikategorikan satu spesies bersama ‘keluarga’ jerung namun hanya memiliki tulang rawan itu, kata Awang Semana, dia akan menggunakan teknik ikatan dasar atau bottom untuk mengumpan ikan tersebut.

“Paling penting umpan perlu diletakkan atas pasir dan teknik bottom (ikatan dasar) gantung pula akan digunakan jika ada arus,” ujar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) itu.

Ujarnya lagi, habitat pari biasanya dapat dikesan sejam selepas air pasang iaitu ketika air mulai surut atau surut habis.

 

IKAN pari bintik antara pari yang paling agresif kerana kuat melawan dan kerap mendap di atas pasir.

 

Kata Awang Semana, umpan yang biasa digunakan untuk ‘memikat’ ikan pari pula adalah ikan belanak, nipis, bolos, gelama, pisang, udang hidup atau udang mati dan sotong.

Tambahnya, antara lokasi yang sering menjadi tumpuan untuk memancing ikan pari itu ketika ini termasuk di Telok Gong, Tanjung Harapan dan Pulau Ketam, Selangor, selain sekitar Miri, Sarawak dan perairan Brunei Darussalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI