fbpx
Chang Hook (dua, dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Jempol dekat sini hari ini sambil diperhatikan S. Wikkram (dua dari kiri).

Dua beranak antara lima pengedar dadah dicekup polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL – Dua beranak berumur 25 dan 56 tahun antara lima lelaki yang dicekup polis dalam lima serbuan berasingan Ops Tapis oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pada 9 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 56 tahun itu ditahan di Bandar Seri Jempol, Felda Palong 4, Bahau, Mahsan dalam operasi yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 11 malam.

Menurutnya, dalam lima serbuan berkenaan, pihaknya turut merampas dadah jenis heroin seberat 624.15 gram dan dadah jenis syabu seberat 201.26 gram.

“Harga pasaran bagi dadah jenis heroin dianggarkan sebanyak RM21,845.25, manakala dadah jenis syabu yang dirampas bernilai RM30,189.

“Berdasarkan siasatan, semua suspek yang ditangkap mempunyai kaitan di antara satu sama lain dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah ini,” katanya dalam satu sidang media di IPD Jempol, dekat sini tadi.

Hoo Chang Hook berkata, dalam serbuan berkenaan, suspek ditahan di rumah, di tepi jalan dan simpang taman termasuk bapa dan anak terbabit serta dadah yang dirampas ditemukan di dalam rumah dan kereta yang dinaiki suspek.

Menurutnya, hasil urin mendapati kesemua suspek positif dadah jenis morfin dan methamphetamine dan turut mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah.

“Suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 16 Disember depan untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Jempol, Asisten Superintenden S. Wikkram. – K! ONLINE

POPULAR