fbpx

[VIDEO] Bantu jual nasi lemak, Tengku Hassanal dipuji rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video Tengku Hassanal membantu peniaga di sebuah gerai nasi lemak di Kota SAS, Kuantan, Pahang.

PETALING JAYA – Keberangkatan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Al-Sultan Abdullah mencemar duli membantu seorang peniaga nasi lemak di sebuah gerai di Kota SAS, Kuantan, Pahang mendapat pujian netizen.

Menerusi muat naik di Instagram rasmi Tengku Hassanal, baginda telah meninggalkan kapsyen ‘part time’ di sebuah video yang memaparkan baginda sedang melayan pelanggan dan membungkus nasi lemak.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata rakyat memuji sikap rendah diri baginda serta melahirkan rasa teruja melihat anakanda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah belajar membungkus nasi lemak.

Seorang netizen yang dikenali sebagai Murad, memuji tindakan baginda dan menyifatkan baginda seorang yang telus dan berjiwa rakyat.

“Sayang Tengku Hassanal. Seorang yang benar-benar telus berjiwa rakyat. Merasai sendiri apa yang dilalui oleh rakyatnya. Semoga Tengku dan keluarga diberikan kesihatan yang baik-baik dan dirahmati Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, seorang netizen yang dikenali sebagai Aydinur berkata, negeri Pahang sangat bertuah kerana dinaungi pewaris takhta yang rendah diri.

“Pahang sangat bertuah dinaungi pewaris takhta yang rendah diri dan berjiwa rakyat seperti baginda,” ujarnya.

Sehingga kini, hantaran tersebut sudah mendapat lebih 140,000 tontonan dan 46,7060 tanda suka daripada warga maya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI