fbpx

Kayak memancing tarikan baharu kaki pancing di PD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazuan menunjukkan kayak memancing yang diusahakannya di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson.

PORT DICKSON – Bagi kaki pancing, Port Dickson merupakan antara lokasi kegemaran untuk golongan tersebut melepaskan ‘gian’ memancing mereka kerana lautnya kaya dengan pelbagai spesies ikan.

Kini bagi memenuhi hobi golongan tersebut, satu tarikan baharu diperkenalkan iaitu berkayak sambil memancing.

Pengarah Urusan PD Watersports Sdn. Bhd., Mazuan Mohd. Noor, 37, berkata, walaupun kayak sambil memancing agak baharu di Malaysia namun ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pemancing di negara ini.

“Kayak memancing ini baharu di sini (Port Dickson) lebih kurang tiga tahun lepas. Ia popular selepas ada ada YouTuber yang memperkenalkannya. Kayak yang memasuki Malaysia sebelum ini tidak banyak namun apabila kayak dari China masuk, kaedah ini mempunyai banyak permintaan.

“Pelbagai jenis dan reka bentuk serta teknologi kayak memancing terdapat di sini walaupun ia berbeza namun fungsinya tetap sama iaitu kayak sambil memancing di laut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Menurut Mazuan, dia memulakan perniagaan berkenaan seminggu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, namun terpaksa memberhentikan seketika operasi pada waktu berkenaan.

“Kami menubuhkan kayak memancing ini seminggu sebelum pelaksanaan PKP namun disebabkan permintaan agak kurang kami hanya memulakan semula operasi pada Oktober lalu.

“Jika dilihat bulan lalu, pendapatan kayak memancing kami ini juga terjejas teruk iaitu sebanyak lima peratus keuntungan sahaja ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Bagaimanapun, sejak semalam ada kumpulan pemancing sudah mula menempah untuk berkayak pada hujung minggu ini,” katanya.

Tambah Mazuan lagi, memancing menggunakan kayak juga memberi kelebihan apabila pemancing turut akan disediakan alat pengesan ikan dan sistem solar.

“Lebih menarik lagi, kayak memancing ini akan dilengkapi alat pengesan ikan dan sistem solar di mana pemancing boleh mengetahui kedudukan ikan dan batu karang.

“Di samping itu, pemancing boleh berkayak sejauh 3.6 kilometer dan dikatakan lebih mudah mencari lokasi sesuai untuk memancing kerana kami turut menyediakan aplikasi telefon yang sesuai sebelum mereka ke laut,” katanya.  – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI