fbpx

Jumlah saringan pekerja asing dijangka meningkat -Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KLANG – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjangkakan jumlah pekerja warga asing yang menjalani ujian saringan Covid-19 akan meningkat di negeri ini.

Peningkatan itu susulan Program Saringan Covid-19 Bagi Pekerja Asing kini diperluaskan kepada zon merah lain seperti di Hulu Langat, Petaling dan Gombak.

Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso, Dr. Azlan Darus berkata, seramai 3,319 pekerja asing telah menjalani ujian saringan menerusi program itu melibatkan daerah ini dan Seremban, Negeri Sembilan sejak 1 Disember lalu.

“Namun, kita menjangkakan jumlah pekerja yang disaring akan terus meningkat selepas program tersebut diperluaskan kepada zon merah lain di Selangor.

“Bermula hari ini, program saringan terbuka kepada majikan atau pemilik syarikat di zon tersebut dan mereka boleh menghubungi senarai klinik di laman sesawang rasmi Perkeso,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelaksanaan Program Saringan Bagi Pekerja Warga Asing di Wisma Kossan Rubber, Meru di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau ujian saringan Covid-19 yang melibatkan seramai 8,000 kakitangan termasuk 4,800 pekerja asing di Kumpulan Syarikat Kossan.

Dalam pada itu, kata Azlan, sebanyak 529 klinik termasuk 298 di Selangor sudah berdaftar dengan pihaknya dan bersedia menjalankan perkhidmatan saringan tersebut.

Katanya, ujian saringan itu menggunakan kaedah kit ujian pantas antigen (RTK Antigen) yang dijalankan secara berperingkat selama 14 hari bermula 3 Disember sehingga 16 Disember.

“Kit ujian ini akan dibiayai Perkeso dan majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan klinik atau hospital. Bagi pekerja asing yang bukan pencarum, kos saringan ditanggung sepenuhnya oleh majikan,” katanya.

Pada 27 November lalu, kerajaan menetapkan prosedur pelaksanaan saringan Covid-19 kepada semua pekerja asing yang bekerja di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Saringan perlu dilaksanakan secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi mulai 1 Disember lalu. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI