fbpx

DRZ di Iskandar Puteri bakal tarik pelaburan RM350 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Zon Dron dan Robotik (DRZ) yang baharu dilancarkan di Iskandar Malaysia di sini bakal menarik pelaburan bernilai RM350 juta, selain membuka lebih 1,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, zon itu juga akan meletakkan Johor sebagai peneraju dalam industri dron dan robotik sekali gus menawarkan peluang berpotensi untuk dite­rokai.

Menurut beliau, inisiatif tersebut juga selari dengan usaha kerajaan negeri menubuhkan Hab Digital di wilayah berkenaan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2021.

“Johor perlukan satu eko sistem bersepadu bagi membo­lehkan negeri ini memajukan lagi sektor ekonomi digital khusus­nya bagi rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran DRZ secara maya yang merupakan pusat pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara, di sini semalam.

Turut menyaksikan pelancaran majlis tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Iskandar Investment Bhd. (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad menerangkan, penerokaan dalam teknologi dron dan robotik boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor ekonomi.

“Antara sektor yang terlibat termasuklah keselamatan, pertanian, logistik dan juga pelbagai cabang sektor perkhidmatan.

“Selain itu, penerokaan lebih mendalam terhadap teknologi ini juga berupaya untuk membo­lehkan kita meneroka penggunaan dron dan robotik dalam pelbagai sektor lain pada masa depan,” ujarnya.

Tambah beliau, situasi terkini melibatkan pandemik Covid-19 menyaksikan teknologi digital memainkan peranan penting khususnya dalam memacu sektor ekonomi negara.

“Sebagai sebuah negara, kita perlu bergerak seiring dengan teknologi terkini dengan menjadikan Singapura sebagai contoh, yang mana teknologi digital diintegrasikan dalam urusan harian,” tambah beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI