PETALING JAYA – Pereka fesyen Jimmy Couture menjelaskan busana berwarna merah rekaannya yang digayakan Ashira pada konsert separuh akhir Gegar Vaganza 7 (GV7) semalam merupakan cetusan peserta itu sendiri.
Menurut Jimmy, rekaan tersebut merupakan permintaan Ashira yang diinspirasikan daripada baju yang pernah dipakai penyanyi terkenal antarabangsa, Gwen Stefani.

“Tularkah? Ini sebenarnya permintaan Ashira dan mengambil inspirasi daripada busana Stefani yang pernah dipakai suatu ketika dahulu.
“Saya cuma hasilkan apa yang dia nak cuma kali dia memang sangat inginkan rekaan tersebut untuk konsert separuh akhir,” jelas Jimmy dalam satu perkongsian Instagram.
Ujarnya, dia juga memohon maaf sekiranya rekaan baju tersebut dilihat keterlaluan.
“Maaflah jika baju ini seperti melebih-lebih, lupa pula orang Malaysia sensitif.
“Terima kasih kepada yang memberi komen positif dan negatif. Saya terima dengan hati yang terbuka,” ujarnya.

Tambah Jimmy, dia juga tidak sabar untuk mempersembahkan rekaan baju yang akan dipakai Ashira pada konsert akhir GV7 Ahad depan.
Terdahulu, baju jumpsuit yang dipakai Ashira atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 34, dikritik oleh netizen kerana dikatakan kelihatan mencolok mata.
Malah, ada yang berpendapat taburan bunga pada bajunya itu juga kelihatan tidak sesuai.
Dalam pada itu, Ashira dan enam orang lagi peserta diumumkan berjaya melangkah ke pentas akhir GV7 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Ahad ini.
Pertandingan tersebut bakal menyaksikan pertarungan tujuh penyanyi hebat iaitu Ashira, Linda Nanuwil, Muss, Oja, Cliff Umar, Ayu Damit dan Noraniza Idris. – K-Online