fbpx

Penghantar makanan baru sebulan kerja digilis treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEPANG – Seorang penghantar makanan yang hanya baharu sebulan kerja menemui ajal apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27.2 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), berhampiran Pejabat Lebuhraya Malaysia (LLM), dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, motosikal jenis Yamaha Legenda yang ditunggang mangsa, Ibrahim Dasuqi Sudin, 23, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler sebelum mangsa terjatuh dan digilis kenderaan berat berkenaan.

Akibat kemalangan itu, mangsa yang berasal dari Bandar Baru Bangi mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sebelum kejadian berlaku, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Puchong ke Kajang.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dan dalam perjalanan arah sama bagaimanapun telah hilang kawalan.

“Akibat itu menyebabkan kenderaan berat berkenaan terhimpit motosikal mangsa yang berada di kiri jalan sebelum mangsa terjatuh dan berguling di bawah treler.

“Ia menyebabkan mangsa digilis treler terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian termasuk mengesan saksi yang melihat kemalangan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Difahamkan, mangsa sudah bekerja di sebuah syarikat penghantaran makanan sejak awal November lalu dan melakukan sebanyak 14 penghantaran kepada pelanggan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI