fbpx
Cheng Hoe (kiri) bertemu Muhammad Syafiq (tengah) di Hospital Sungai Bakap, Nibong Tebal hari ini. Foto: AMIR IRSYAD OMAR

[VIDEO] Cheng Hoe ziarah Muhammad Syafiq di HSB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN

SEBERANG PERAI – Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menzahirkan ucapan takziah kepada Muhammad Syafiq Ahmad yang kehilangan bayi lelaki dan ibu mertuanya dalam kemalangan di Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini awal pagi tadi.

Beliau turut meluangkan masa berbual sambil memberikan kata-kata semangat kepada Muhammad Syafiq setibanya di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Bakap (HSB) kira-kira pukul 1.50 petang.

Katanya, pihaknya memahami situasi yang dihadapinya ketika ini kerana bukan mudah berdepan dengan dugaan kehilangan dua orang yang tersayang.

“Beliau boleh mengambil berapa lama masa yang diperlukan untuk kembali pulih sama ada mental dan fizikal malah kita akan sentiasa memberi semangat selain sokongan ahli keluarga, rakan-rakan pasukan dan penyokong yang setia bersama selama ini.

“Kita sedar, memang bukan mudah untuk kehidupannya kembali seperti biasa namun kami semua mendoakan yang terbaik buatnya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada sebarang latihan yang dijadualkan buat Muhammad Syafiq ekoran pembatalan Piala Malaysia disebabkan oleh Covid-19.

“Kalau diikutkan jadual asal, sepatutnya pasukan kebangsaan ada latihan selepas Piala Malaysia, tetapi sebab dah batal, maka tiada latihan dijadualkan setakat ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi tadi, tiga terbunuh, manakala tiga lagi termasuk Mohammad Syafiq cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyoya Velfire dipandunya terbabas di Kilometer 163.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini.

Antara yang maut, bayi Muhammad Syafiq yang berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef, ibu mentuanya, Zainan Wahab, 45, dan wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Muhammad Syafiq dan anak perempuannya berusia 2 tahun Aaira Nur Saffiyya hanya cedera ringan, manakala isteri yang sedang berpantang, Nur Amalina Norain, 25, parah dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya di sini. – K! ONLINE

POPULAR