fbpx
Seekor ular senduk berada di dalam sangkar tempat ayam bertelur di Kampung Kuala Semerak, Pasir Puteh hari ini.

Ular senduk mengeram telur ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Angkatan Pertahanan Awam (APM) berjaya menangkap seekor ular senduk yang sedang mengeram telur ayam dalam sebuah reban di Kampung Kuala Semerak di sini hari ini.

Pegawai APM daerah, Kapten Nik Mohd. Nor Nik Mat berkata, reptilia berbisa sepanjang satu meter dengan berat 500 gram itu ditemui dalam keadaan berlingkar di atas beberapa biji telur ayam.

Menurutnya, kehadiran ular tersebut disedari pemilik reban, Khairul Azreen Ismail, 28, ketika dia mahu mengutip telur ayam terbabit kira-kira pukul 7.45 pagi tadi.

“Difahamkan, rutin harian Khairul Azreen pada setiap pagi adalah mengutip telur ayam kampung yang dipeliharanya di dalam reban yang ditutup dengan sangkar plastik.

“Semasa membuka penutup sangkar, dia terkejut melihat seekor ular senduk yang tumpang berteduh di situ,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Nik Mohd. Nor berkata, lelaki itu mengambil tindakan yang betul dengan menghubungi pihak APM dan tidak mengambil tindakan sendiri.

“APM Pasir Puteh tiba di lokasi pada pukul 8.25 pagi dan mengambil masa 10 minit untuk menangkap ular berkenaan.

“Orang ramai perlu berhati-hati sepanjang musim banjir kerana reptilia tersebut sedang mencari tempat perlindungan selepas habitat asal dinaiki air,” katanya.-K!ONLINE

POPULAR