fbpx

Polis rampas lebih dua kilogram syabu, tiga individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMERIKSAAN beberapa bungkusan plastik teh cina dan menemui ketulan hablur jernih disyaki dadah seberat 2,065 gram.

BEAUFORT – Polis daerah ini menahan tiga individu termasuk seorang wanita dipercayai giat menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam operasi khas di tepi pantai Kampung Mempakul, Menumbok Isnin lalu.

Dalam serbuan pukul 9.30 pagi itu, dua lelaki yang ditahan berusia 45 dan 57 tahun manakala seorang lagi rakan wanita berusia 22 tahun.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir A Razak berkata, operasi dijalankan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Natkotik, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah dan dibantu pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan IPD Beaufort.

“Polis berjaya merampas dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM90,000 ketika serbuan ke atas suspek dibuat.

“Semua suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Mereka berhenti di kawasan tepi pantai berkenaan sebelum membawa satu bungkusan dipercayai berisi dadah yang diletakkan di celah batu.

“Pasukan polis kemudiannya bertindak menghampiri kenderaan itu dan memperkenalkan diri sebagai polis dan terus menahan semua suspek,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan sama, Azmir memaklumkan pihaknya bertindak memeriksa beberapa bungkusan plastik teh cina dan menemui ketulan hablur jernih disyaki dadah seberat 2,065 gram.

“Ketiga-tiga suspek ditahan dan dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Saringan ujian air kencing turut mendapati dua dari tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine manakala suspek wanita negatif dadah.

“Hasil siasatan awal juga mendapati suspek utama dalam kes ini memperolehi bekalan syabu daripada Kota Kinabalu dan dipercayai akan diedar ke Menumbok bagi tujuan penjualan dan transaksi dadah ke Labuan pula hasil risikan bahagian narkotik IPD Labuan,” katanya.

Sementara itu, Azmir berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39 C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketiga-tiga suspek berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan 15 kali sebatan jika disabitkan kesalahan.  -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI