fbpx

Perluas jaringan kerjasama melalui semangat kesukarelawanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REEZAL Merican menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2020 yang dibuat secara virtual hari ini. Foto IHSAN KBS

PUTRAJAYA – Semangat kesukarelawanan yang dipupuk dan diterapkan melalui kerjasama pelbagai pihak akan membolehkan masyarakat meluaskan jaringan kerjasama antara badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan tempatan mahupun antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, usaha murni itu akhirnya membolehkan masyarakat menjadi ‘duta sosial’ yang mampu memberikan tanggapan positif masyarakat tempatan di dalam dan luar negara kepada Malaysia.

“Semangat kesukarelawanan perlu dipupuk dan disematkan sejak awal kerana ia adalah batu asas kepada masyarakat yang prihatin, bertanggungjawab, saling membantu tidak kira agama, kaum dan warna kulit.

“Semangat ini juga perlu diterapkan dan dipupuk melalui kerjasama daripada pelbagai pihak sama ada individu, badan kerajaan dan NGO,” katanya sempena sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2020 secara virtual di sini hari ini.

Reezal Merican berkata, Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan antara lain bagi memberi kesedaran dan menggalakkan penglibatan masyarakat di negara ini dalam program, aktiviti kesukarelawanan serta kemanusiaan.

Beliau berkata, ia juga bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Sukarelawanan Antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 5 Disember setiap tahun dengan tema ‘Together We Can Through Volunteering’ untuk tahun ini.

Menurutnya, Kajian Penilaian Outcome Indeks Belia Malaysia 2019 yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) menunjukkan di bawah Domain Identiti mendapati indikator sukarelawan masih di tahap sederhana dengan dapatan skor sebanyak 60.93 peratus.

Katanya, terdapat satu lagi Kajian Kesedaran Mengenai Kesukarelawanan di Malaysia yang telah dilaksanakan oleh IYRES menunjukkan 81.6 peratus responden pernah terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan manakala 18.4 peratus responden lagi tidak pernah terlibat.

“Selain itu, penilaian terhadap penganjur program kesukarelawan khususnya daripada pihak NGO adalah pada tahap 60 peratus iaitu dalam kategori memuaskan,” katanya.

Justeru, katanya, melalui sambutan Hari Kesukarelawan Belia itu juga secara tidak langsung dapat memberi pengiktirafan dan menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam menceburi dunia kesukarelawanan dan kemanusiaan tanpa mengira perbezaan latar belakang. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN