fbpx

Lelaki retak pada kepala, video pergaduhan tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pergaduhan tersebut dipercayai berpunca daripada kemalangan jalan raya yang berlaku di kawasan Mambau.

SEREMBAN – Seorang lelaki mengalami retak pada kepala selepas terlibat dalam pergaduhan di antara dua kumpulan lelaki dalam kejadian di Uptown Avenue Seremban 2 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, video pergaduhan berdurasi satu minit dua saat yang memaparkan sekumpulan lelaki memukul seorang individu tidak dikenali itu turut tular di media sosial.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di Uptown Avenue Seremban 2 dan video itu menunjukkan pergaduhan di antara dua kumpulan lelaki tempatan.

“Kejadian disyaki berlaku kira-kira pukul 1 pagi semalam yang dipercayai berpunca daripada kemalangan jalan raya yang berlaku di kawasan Mambau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Said, daripada maklumat hasil risikan yang diperoleh, mangsa merupakan dua orang lelaki tempatan.

“Salah seorang mengalami retak pada kepala manakala seorang lagi hanya cedera ringan.

“Setakat ini, tiada sebarang laporan polis di terima dari kedua-dua belah pihak (mangsa),” katanya.

Jelas Mohd. Said, bagaimanapun Bilik Gerak Ibu Pejabat Daerah Seremban telah menerima satu laporan polis berhubung video pergaduhan yang tular itu pada pukul 9.45 pagi hari ini.

Beliau berkata, setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI