fbpx

Aliff Iskandar kejar dua bidang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALIFF ISKANDAR

MINAT dan kecintaannya terhadap bidang muzik memang tidak dapat dipisahkan.

Sebaris nama yang sedang bertatih mencari ruang dalam industri, Aliff Iskandar tekad untuk mempertaruhkan bakat seni suara yang ada dalam dirinya demi mengejar cita-cita sebagai penyanyi.

Pun begitu, pada masa sama Aliff tidak mahu menghampakan impian dan harapan keluarga untuk melihat dirinya bergelar seorang pendidik.

Menurut anak muda yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu, dia perlu bijak untuk membahagikan masa bagi memastikan dua bidang yang diceburinya kelak dapat bergerak seiring.

“Sekarang saya masih menuntut di semester ketiga Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pendidikan Muzik di Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur.

“Bergelar seorang guru merupakan harapan kedua-dua orang tua. Sementara jiwa saya pula lebih ke arah muzik.

“Jadi tidak salah rasanya jika saya melakukan dua kerjaya berbeza asalkan dapat menggembirakan diri sendiri dan orang yang saya sayang,” ujarnya.

Aliff tidak menolak andai ditakdirkan suatu hari nanti dia perlu mengajar subjek selain daripada jurusan muzik yang diambil pada hari ini. Hal ini kerana dia sentiasa komited untuk terus bergelar pendidik seperti yang diharapkan oleh kedua-dua orang tuanya.

“Contohnya kalau saya dihantar ke Sabah atau Sarawak, saya tidak menolak kerana dua negeri tersebut memang antara pilihan saya selain daripada mengajar di Kuala Lumpur atau di Johor,” katanya.

Artis norma baharu

Muncul di tengah-tengah geledaknya wabak pandemik Covid-19 yang belum menemui titik noktah, Aliff tidak menganggap kehadirannya pada waktu yang salah. Sesiapa sahaja melalui fasa yang sama sekarang.

Penyanyi yang mempunyai bakat bermain alat muzik itu tidak melihat situasi berkenaan sebagai penghalang untuk dia mempromosikan diri sebagai salah seorang pendatang baharu dalam industri.

“Sebagai artis ‘new norma’, mungkin saya tidak dapat merasai pengalaman seperti artis-artis terdahulu yang berpeluang bertemu dengan peminat dan melakukan promosi
bergerak.

“Tetapi saya percaya dengan adanya platform media sosial, saya tetap dapat mempromosikan diri dan juga lagu nyanyian saya seperti biasa,” katanya.

ENGGAN menghampakan harapan kedua ibu bapa, Aliff mencabar diri dengan menuntut ilmu demi bergelar pengajar selain pada masa sama tetap memburu cita-citanya sebagai penyanyi. 

Selain memiliki bakat dalam nyanyian, Aliff turut mempunyai kelebihan mencipta lagu sendiri. Setakat ini dia sudah mempunyai lebih daripada 20 buah lagu yang telah dicipta sejak berusia 15 tahun lagi.

“Saya sering masuk pertandingan nyanyian dan menyanyikan lagu penyanyi lain. Jadi saya terfikir untuk menghasilkan dan menyanyikan lagu sendiri,” ujarnya.

Diam tidak diam, Aliff kini tampil dengan single kedua berjudul Perit hasilciptaan sendiri, sementara lirik pula merupakan nukilan Iman Imran.

Menurutnya, bait-bait lirik yang cukup menusuk hati dan ditambah dengan melodi indah membuatkan lagu Perit mempunyai keunikan tersendiri.

Sebagai pendatang baharu, Aliff bersyukur kerana lagunya diterima baik oleh peminat walaupun sedar masih ‘hijau’ dalam industri.

“Saya gembira kerana lagu tersebut diterima ramai kerana bait-bait lirik yang begitu mencengkam perasaan.

“Situasi ini membangkitkan semangat saya untuk menghasilkan lebih banyak karya yang lebih baik,” ujarnya.

Muzik video Perit yang dilancarkan pada 12 November lalu melalui saluran YouTube Indigital Music turut memikat hati pendengar yang ingin mengetahui jalan sebenar lagu Perit.

“Harapnya dengan pelancaran muzik video ini akan membuatkan lagu Perit lebih diterima ramai,” tutup Aliff.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI