fbpx

Tiga dalang kes pecah pejabat dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang dipercayai merupakan hasil kegiatan pecah pejabat dirampas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kota Damansara semalam.

PETALING JAYA – Seorang lelaki yang aktif melakukan kegiatan pecah pejabat di sekitar daerah ini dicekup dalam satu serbuan di sebuah rumah flat di Kota Damansara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, lelaki berkenaan berjaya ditahan dalam serbuan yang dilakukan susulan satu kejadian pecah pejabat di sebuah bangunan di Kota Damansara kelmarin.

“Pihak polis Petaling Jaya menerima satu laporan berhubung kejadian pecah pejabat dan pengadu mendakwa pintu pejabatnya telah diumpil malah barangan seperti komputer riba, tiga buah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM100 telah hilang.

“Hasil risikan yang dilakukan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Seksyen 8, Kota Damansara kira-kira pukul 11 malam dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nik Ezanee, pemeriksaan di rumah tersebut turut berjaya menemui beberapa barangan seperti empat unit komputer riba, lapan telefon bimbit, dua beg berjenama yang dipercayai hasil kegiatan pecah pejabat.

“Soal siasat ke atas suspek pertama seterusnya membawa pihak polis kepada penahanan dua lagi suspek menerusi dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Kota Damansara kira-kira pukul 4 pagi tadi.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 44 tahun yang dipercayai terlibat dalam urusan jual beli barangan kes pecah pejabat,” jelas beliau.

Tambah Nik Ezanee, kesemua suspek mengaku terlibat dalam empat kejadian pecah pejabat dan ceroboh hostel di sekitar Kota Damansara malah semakan dilakukan mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah dan satu kes dadah manakala suspek kedua memiliki satu rekod kes jenayah lampau.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama empat belas tahun, denda serta sebat,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI