fbpx

K2

‘Saya hendak balas jasa mama’- Dik Mat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIK MAT tabah menjalani kehidupan sebagai OKU.

KEKURANGAN diri bukan alasan untuk Muhammad Nor Abdullah, 28, menyerah kalah dengan ujian hidup sebaliknya ia menjadi kekuatan bagi pemuda itu mencapai cita-citanya sebagai usahawan.

Muhammad Nor yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan itu dan berstatus orang kelainan upaya (OKU) tidak mengharapkan belas ihsan apatah lagi meminta-minta.

Sebaliknya, dia menggunakan kudrat yang ada untuk menjual Nasi Lemak Bujang Dekk’s Mat sejak Julai lalu selepas berhenti kerja sebagai pegawai khidmat pelanggan kerana syarikat tempatnya bekerja mengalami masalah kewangan.

Dia yang dikenali sebagai Dik Mat hidup sendiri dengan menyewa bilik di tingkat atas sebuah rumah kedai berdekatan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Cheras itu mengambil keputusan menjual nasi lemak selepas dicadangkan oleh seorang kenalan rapatnya iaitu Tengku Mahadi Tengku Mamat, 40.

BEBERAPA pelanggan membeli nasi lemak di gerai Nasi Lemak Bujang Dekk’s Mat di Taman Ikan Emas, Cheras, Kuala Lumpur. – FARIZ RUSADIO

Menurut Dik Mat, melihat kawan-kawannya berniaga membuatkan dia bersemangat mengikut jejak langkah mereka lantas bersetuju dengan cadangan Tengku Mahadi untuk menjual nasi lemak.

Perkara itu dia suarakan kepada ibunya, Mek Yah Yusof, 60, dan memberikan restu serta doa untuk meneruskan hasrat tersebut.

“Saya memberinya nama Nasi Lemak Bujang Dekk’s Mat yang diambil sempena nama Facebook miliknya sendiri iaitu Dekk’s Mat,” katanya kepada K2 ketika ditemui di gerainya berhampiran Amber Plaza, Jalan Jelawat 1, Taman Ikan Emas, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika memulakan perniagaan itu, dia menumpang menjual nasi lemak di kaki lima hadapan Kedai Kek Cheras dengan mendapat kebenaran daripada pemilik premis tersebut asalkan menjaga kebersihan.

Kegigihannya menjual nasi lemak dengan keadaan diri OKU tanpa kedua-dua belah tangan itu menjadi bualan netizen selepas dia tular di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Kisah Dik Mat menjual Nasi Lemak Bujang Dekk’s Mat turut mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan selebriti seperti Anzalna Nasir.

Tidak ketinggalan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga berkesempatan turun padang untuk melawat gerainya.

Kuasa tular itu juga membawa nama Dik Mat sehingga ke Afrika dan Singapura apabila ada insan yang baik hati dari negara-negara tersebut turut memberi sumbangan kepadanya.

“Saya tidak menyangka Nasi Lemak Bujang Dekk’s Mat menjadi bualan ramai apabila ia ditularkan oleh salah seorang pelanggan di laman Facebook.

“Syukur selepas tular, saya mampu menjual nasi lemak 300 hingga 1,000 bungkus sehari kerana ramai orang mengambil peluang ini untuk membeli sambil bersedekah,” tutur anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Ada yang menempah lebih awal nasi lemak tersebut untuk disedekahkan kepada anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan.

Sebelum ini, dia yang berniaga bermula pukul 6 pagi hanya mampu menjual lima hingga 10 bungkus sehari dan terpaksa menunggu sampai petang.

Nasi lemak yang dijual RM1.50 sebungkus itu dibuat oleh ibu seorang kenalannya di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor.

Walaupun untungnya cuma 50 sen sebungkus, ia sudah memadai bagi Dik Mat dan dia bersyukur dengan rezeki tersebut.

“Saya tidak fikir untuk mengaut untung sebaliknya cukuplah dapat menampung perbelanjaan makan dan minum serta membantu mama.

“Saya nak balas jasa mama yang selama ini banyak memberi sokongan dan doa,” ujar anak tunggal itu.

Mengimbas kembali saat getir ketika memulakan jualan nasi lemak itu, dia terpaksa menerima cemuhan dan makian orang yang lalu-lalang di hadapan kedai kek tersebut kerana dikatakan mengganggu jalan.

DIK Mat mengangkat meja menggunakan dagu dan lehernya.

Namun, apakan daya kedai kek yang terletak berhampiran rumah sewanya itu adalah lokasi terbaik kerana dia tidak berupaya mengangkat meja dan nasi ke tempat lebih jauh.

Kini, Dik Mat dapat berniaga dengan selesa apabila pihak Kementeri Wilayah Persekutuan telah memberinya bantuan seperti gerai, lesen berniaga dan payung yang juga berdekatan kedai kek tersebut.

“Ketika berniaga di kaki lima dahulu, saya terpaksa basah kuyup pada hari hujan demi memastikan nasi lemak tidak terkena air memandangkan tempat itu sangat sempit.

“Syukur bantuan yang diberikan ini sangat bermakna untuk saya meneruskan mencari rezeki dengan menjual Nasi Lemak Bujang Dekk’s Mat,” katanya yang turut bergantung kepada wang bantuan daripada Baitulmal.

Ceritanya, dia pernah berasa putus asa dan tidak mahu meneruskan jualan nasi lemak tersebut tetapi Tengku Mahadi banyak memberinya semangat dan membantu pemuda itu.

“Saya sudah menganggapnya seperti abang kandung sendiri, dia adalah orang yang penting membantu penjualan Nasi Lemak Bujang Dekk’s Mat dari dahulu sehingga kini.

“Abang Edy menolong saya membawa dan menyusun nasi lemak di atas meja tanpa meminta sebarang balasan,” katanya yang mengenali bapa kepada empat orang cahaya mata itu sejak setahun yang lalu.

Tambahnya, dia hanya mampu berdoa kepada Allah agar segala jasa Tengku Mahadi itu dibalas dengan kebaikan.

Besar harapan Dik Mat untuk berjaya dalam bidang perniagaan dan memiliki kedai makan pada masa akan datang.

PEMUDA OKU itu mengoperasikan telefon bimbit menggunakan jari kaki.

Sementara itu, Tengku Mahadi berkata, dia ikhlas membantu dan ingin melihat pemuda itu berjaya.

“Sejak mula berniaga sehingga kini, sudah menjadi rutin saya membantunya menjual nasi lemak dengan membawa meja dan menyusunnya.

“Jika saya sibuk, anak saya Tengku Bazil Haikal akan membantu Muhammad Nor di gerai,” terangnya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Tengku Mahadi berkata, dia cukup kagum sifat Muhammad Nor yang sangat pentingkan ibunya dan suka bersedekah.

“Walaupun hanya memperoleh untung 50 sen daripada sebungkus nasi itu dia tidak menghalangnya bersedekah.

“Dia seorang yang sangat mementingkan ibunya dan bersedekah.

“Dik Mat sering memberi pelanggan nasi lemak percuma setiap kali membelinya,” tuturnya yang juga merupakan seorang peniaga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI