fbpx

Vaksin mRNA tidak ubah DNA manusia – KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Vaksin mRNA tidak akan mengubah unsur asid deoksiribonukleik (DNA) dalam tubuh manusia sebaliknya ia bersifat molekul sementara.

Itu penjelasan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai reaksi kepada dakwaan dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Sebelum ini, Ronnie mendakwa vaksin mRNA yang dicipta Pfizer boleh mengubah genetik seseorang sebagaimana dakwaan oleh beberapa doktor perubatan di luar negara.

Khairy Jamaluddin berkata, secara ringkas, mRNA pada sel manusia bersifat molekul sementara yang diperbuat daripada DNA genomik sebelum diterjemahkan dalam bentuk protein.

Beliau berkata, dalam kes ini, mesej sementara mRNA memberi arahan kepada tubuh untuk menghasilkan salah satu protein di permukaan virus Covid-19.

“Sistem ketahanan badan kemudian akan belajar mengenali protein virus itu dan menghasilkan antibodi untuk menentangnya. Itulah yang dilakukan oleh vaksin mRNA. Ia tidak mengubah DNA anda,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Mengenai dakwaan Ronnie kononnya kerajaan tergesa-gesa menandatangani perjanjian dengan pengeluar vaksin, Pfizer, Khairy Jamaluddin berkata, dakwaan itu tidak benar kerana rundingan mengenainya bermula sejak April lalu.

Menurutnya, kerajaan sudah mempertimbangkan semua data yang diberikan syarikat itu sebelum keputusan terbaik dan paling tepat dibuat.

“Saya ingin menegaskan bahawa vaksin mesti dianggap selamat dan berkesan oleh Badan Pengawas Farmaseutikal Nasional (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum perjanjian ditandatangani,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan juga berpuas hati dengan syarat harga yang dipersetujui.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin juga memaklumkan, rantaian bekalan ultra-sejuk yang diperlukan termasuk penghantaran akan dikendalikan oleh Pfizer.

“Bagi penyimpanan ultra-sejuk, kami mempunyai penyejuk beku suhu rendah universiti dan institusi penyelidikan di negara ini yang boleh digunakan.

“Pfizer juga memaklumkan bahawa vaksin tersebut stabil pada suhu 2 hingga 8 darjah Celsius selama lima hari,” katanya.

Menjawab persoalan kenapa beliau terbabit dalam JKJAV itu, Khairy Jamaluddin berkata, beliau mempengerusikan JKJAV bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

“MOSTI juga terbabit dalam rundingan vaksin sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam bioteknologi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI