PETALING JAYA – Polis sedang menyiasat skim pelaburan iShareFans di laman sosial yang didakwa telah memperdaya ramai mangsa sehingga melibatkan kerugian ribuan ringgit.
Sehingga semalam, dua laporan polis telah diterima masing-masing di Sabah dan Pahang membabitkan kerugian berjumlah RM6,000.
Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk S. Sasikala Devi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sejak bila kegiatan itu aktif dan modus operandinya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau turut meminta mana-mana individu yang menjadi mangsa pelaburan berkenaan tampil membuat laporan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, tinjauan di laman Facebook iShareFans Malaysia, mendapati halaman tersebut dicipta sejak 2014, namun difahamkan skim itu baru sahaja diperkenalkan tahun ini.
Skim berkenaan dikatakan menawarkan pulangan berbentuk wang yang banyak dengan mudah di mana ahlinya akan diberi tugas untuk ‘Like dan Share’ beberapa akaun laman sosial seperti Facebook dan YouTube bagi mendapatkan ganjaran.
Setiap ahli juga perlu melaburkan wang ringgit mengikut pakej-pakej yang disediakan bagi mendapatkan hasil daripada tugas ‘Like dan Share’ yang diberikan.
Semua pelabur juga perlu mendaftar maklumat diri mereka seperti nama dan nombor akaun bank di dalam sebuah laman web rasmi skim tersebut kononnya bagi memudahkan transaksi memindahkan wang yang dikumpul dari tugasan ‘Like dan Share’.
Bagaimanapun, rata-rata pelabur iShareFans mula berasa diri mereka ditipu selepas gagal memindahkan nilai wang terkumpul kepada akaun bank masing-masing dan cubaan untuk menghubungi syarikat berkenaan juga gagal.
Seorang pelayar Facebook dikenali Aqil turut berkongsi pengalamannya menyertai skim tersebut di sebuah laman Facebook Page IShareFans Wemedia Scammer.
“Silap aku join (sertai). Silap aku tak pernah jumpa group (halaman Facebook IShareFans Wemedia Scammer) ini dulu. Duit dah terlajak labur.
“Tak ada lah banyak sangat (melabur). Platinum sahaja, tetapi RM600 itu duit juga. Satu sen pun tidak balik modal atas alasan pengguna terlalu ramai,” katanya di laman Facebook itu semalam.
Selain itu, Aqil turut memuat naik tangkap layar cubaannya untuk menghubungi dua orang individu yang dipercayai bekerja sebagai khidmat pelanggan iShareFans di aplikasi WhatsApp, namun gagal.
Lebih mengejutkan, beberapa tangkap layar daripada laman Facebook rasmi iShareFans yang kini telah ditetapkan dalam mod peribadi turut tular apabila terdapat seorang mangsa yang mendakwa telah menjual keretanya bagi mendapatkan modal untuk melabur.
“Tolong lah iShareFans, jangan buat kami begini. Ramai yang percaya. Saya tanpa fikir panjang kerana semua kawan-kawan minta saya melabur, saya jual kereta dan dapat RM3,000 lalu terus melabur. Sekarang mahu bawa isteri mengandung pergi buat pemeriksaan kesihatan terpaksa tumpang kereta orang.
“Sebelum ini saya rancang jika dapat untung dari iShareFans sebelum bayi keluar bolehlah saya beli kereta yang elok sebab kereta saya selalu rosak. Dah labur, baru pertama kali mahu keluarkan duit tetapi tidak berjaya,” katanya.
















