JOHOR BAHRU – Tiga individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk diberkas selepas disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan tidak wujud, sindiket pelaburan Forex dan mata wang digital (kripto) di Taman Sri Kluang, Kluang dekat sini Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pada pukul 9 malam itu, suspek yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 27 hingga 40 tahun.
Katanya, dalang utama sindiket penipuan itu berusia 40 tahun yang baharu sahaja mendapat gelaran Datuk di sebuah negeri pada awal bulan ini.
“Siasatan awal yang dijalankan, mendapati sindiket ini disyaki terlibat memperdayakan orang ramai untuk melabur dalam urus niaga Forex dan mata wang digital (kripto) dengan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh masa yang singkat.
“Sasaran mereka adalah pelabur di negara ini termasuk beberapa warga asing seperti dari China, Singapura, Brunei dan beberapa negara lain.
“Kita sedang mengenal pasti dan mengesan mangsa yang terlibat dalam pelaburan berkenaan serta ahli sindiket yang masih bebas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis merampas 10 utas jam tangan berjenama Rolex, dua utas jam tangan jenama Hublot, enam buah telefon bimbit pelbagai jenama, 16 keping kad visa pelbagai bank dan 22 kepingan emas.
Turut dirampas ialah wang ringgit Malaysia berjumlah RM2.17 juta, matawang asing dianggarkan berjumlah RM1.4 juta dan dua buah kereta mewah dengan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM4.6 juta.
Ayob Khan berkata, kegiatan sindiket ini dapat dihidu susulan hasil maklumat yang disalurkan oleh orang awam. – K! ONLINE.