fbpx
Zimbabwe kerugian hampir RM6.1 bilion setahun akibat penyeludupan emas keluar dari negara. - AFP

Zimbabwe rugi RM6.1 bilion setahun akibat penyeludupan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARARE – Zimbabwe kerugian hampir AS$1.5 bilion (RM6.1 bilion) setahun akibat penyeludupan emas keluar dari negara itu, menurut satu laporan yang diterbitkan kelmarin oleh sebuah kumpulan penyelidikan global. 

Sebahagian besar emas yang diseludup keluar itu dilaporkan tiba ke tangan kumpulan pedagang di Dubai, Emiriyiah Arab Bersatu.

Jumlah yang dilaporkan itu adalah lebih tinggi berbanding nilai anggaran kerajaan Zimbabwe iaitu sebanyak AS$1.2 bilion setahun.

“Anggaran kami menunjukkan lebih AS$1.5 bilion berbentuk emas dibawa keluar dari Zimbabwe secara haram setiap tahun, lazimnya ke Dubai,” menurut Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) dalam laporannya.

Zimbabwean yang terletak di selatan Afrika itu mempunyai simpanan emas besar dan sektor itu merangkumi 60 peratus jumlah eksportnya.

Bulan lalu, ketua persekutuan pelombongan kecil dan pelombong bebas Zimbabwe ditahan bersama emas enam kilogram bernilai AS$360,000 (RM1.47 juta) dalam beg tangannya semasa dia bersedia menaiki penerbangan ke Dubai.

Sektor emas menawarkan peluang pekerjaan hampir 10 peratus di Zimbabwe, kata laporan itu. 

“Semasa ekonomi semakin meleset, dianggarkan 1.5 juta orang beralih menjadi pelombong bebas untuk memperoleh jaminan hidup,” menurut laporan sama.

Jumlah kemiskinan di negara itu diramal terus meningkat dan pandemik Covid-19 akan mendorong lebih ramai penduduk menjadi pelombong bebas.

Menurut data rasmi kerajaan, pengeluaran emas bagi tempoh lapan bulan pertama 2020 meningkat 10 peratus disebabkan hasil galian pelombong-pelombong kecil.

Bagaimanapun, kebanyakan pelombong kecewa dengan sistem bayaran yang menetapkan jualan perlu dibuat kepada firma milik negara, Fidelity Printers and Refiners.

Pelombong akan dibayar 55 peratus dalam matawang asing dan 45 peratus dalam bentuk dolar Zimbabwe, satu matawang yang amat lemah.

“Skim pemusatan pembelian emas Zimbabwe membuat bayaran rendah kepada pelombong. Ini akan mendorong kepada kegiatan penyeludupan yang menjejaskan perolehan keuntungan industri dan menyebabkan banyak firma menutup operasi pelombongan,” kata ICG. – AFP

POPULAR