fbpx

Terbitan terbaharu Majalah Al-Bayan perjelas isu penjarakan fizikal dalam solat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majalah Al-Bayan dengan 45 halaman boleh dimuat turun secara percuma.

PUTRAJAYA – Isu penjarakan fizikal semasa solat berjemaah di masjid dan surau menjadi polemik yang menimbulkan ketegangan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Bagi memberi pencerahan mengenai isu berkenaan, Unit al-Bahth al-Ilmi (Penyelidikan Ilmiah) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerbitkan siri terbaru Majalah Al-Bayan bertajuk Isu Penjarakan Sosial Semasa Solat Berjemaah di Masjid dan Surau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau berharap penjelasan yang dimuatkan dalam majalah itu dapat membantu menyelesaikan isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Beliau berkata, ia menerangkan secara terperinci hujah-hujah yang mendokong keperluan penjarakan fizikal ketika solat berjemaah di masjid dan surau.

“Saya berharap penerbitan majalah ini dapat merungkai dan menyelesaikan isu yang dibicarakan.

“Selain itu, ia juga diharap dapat memberi gambaran jelas berkenaan hasrat dan pendirian kerajaan serta Pihak Berkuasa Agama Negeri dalam memutuskan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ini,” katanya menerusi laman sosialnya hari ini.

Katanya, majalah dengan 45 halaman itu boleh dimuat turun secara percuma menerusi pautan https://mira.gov.my/muat-turun/al-bayan/.

Kandungan majalah itu antara lain kenyataan enam tokoh ulama terkemuka dunia dan enam badan berautoriti agama dunia yang berkongsi pendapat mengenai isu penjarakan fizikal dalam solat itu.

Antara tokoh berkenaan termasuk anggota Jawatankuasa Kibar al-Ulama Arab Saudi, Al-Syeikh Dr. Sa’d Nasir al-Syathri; Al-Syeikh Muhammad al-Hasan al-Dedew; Ketua Jawatankuasa Pengawasan Syariah Bank Islam Palestin, Al-Syeikh Prof Dr. Husamuddin Musa dan mantan Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr Ali Jumu’ah.

Selain badan berautoriti agama dunia yang turut berkongsi pendapat adalah Majlis Fatwa UAE; Fatwa al-Lajnah al-Da’imah, Arab Saudi; Kesatuan Ulama Sedunia; Al-Majlis al-Islami li al-Ifta’ Palestin dan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah – al-Azhar.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI