fbpx
TANGKAP layar video Hussein Bob mengenai aktiviti judi dalam talian di Taman Puchong Indah.

Polis minta Hussein Bob tampil salur maklumat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Polis meminta pemilik akaun Facebook, Hussein Bob yang membuat siaran langsung di media sosial berkenaan pada 12 November lalu berkaitan aktiviti judi dalam talian di Taman Puchong Indah, tampil bagi menyalurkan maklumat berhubung perkara itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, hasil maklumat tersebut, pihaknya telah membuat pemantauan di lokasi berkenaan dan mengenal pasti tujuh daripada sembilan premis yang ditunjukkan individu berkenaan dalam siaran langsung tersebut.

“Daripada jumlah itu, kami mendapati terdapat satu premis di sebuah rumah kedai terletak di tingkat tiga kawasan berkenaan yang menjalankan kegiatan terbabit.

“Susulan itu, kami melakukan serbuan pada 13 November lalu yang membawa kepada penahanan enam lelaki warga asing serta dua lelaki tempatan bersama 10 komputer riba yang dipercayai digunakan untuk aktiviti judi dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau premis yang dikatakan menjalankan aktiviti judi dalam talian di Taman Puchong Indah, di sini, hari ini.

Abd Khalid berkata, pihaknya juga mendapati kebanyakan premis ditunjukkan oleh individu berkenaan adalah kedai lama yang pernah menjalankan aktiviti berkenaan.

“Enam daripada tujuh premis yang dikenal pasti dalam video berkenaan adalah kedai lama yang sudah ditutup susulan tindakan pemotongan elektrik dilakukan kira-kira tiga bulan lalu.

“Pemantauan dilakukan setiap hari di kawasan berkenaan sepanjang tempoh itu dalam usaha memastikan kegiatan terbabit tidak beroperasi semula di premis itu.

“Justeru, saya minta individu yang membuat rakaman berkenaan (Hussein Bob) tampil untuk memberikan maklumat kepada pihak polis supaya tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.

Tambahnya, pihaknya memandang serius terhadap perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti berkenaan.

Terdahulu, pada minggu lalu satu rakaman video siaran langsung berdurasi tujuh minit 47 saat yang menunjukkan seorang lelaki ‘mendedahkan’ mengenai beberapa premis yang menjalankan kegiatan judi dalam talian di Taman Puchong Intan, di sini tular di media sosial. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI