SEBUT sahaja nama Bunga, telahan khalayak pastinya merujuk kepada selebriti popular dari seberang, Bunga Citra Lestari.
Namun, tidak ramai menyedari kehadiran si bunga tempatan yang bersemangat melonjakkan nama dalam industri hiburan tanah air.
Pemilik nama lengkap Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari Jailani atau lebih mesra dipanggil Bunga itu dilihat bakal mengikut langkah idolanya, Yuna menerusi jalinan kolaboratif bersama penyanyi antarabangsa.
Itu satu pencapaian yang luar biasa buat dirinya. Dia juga tidak menduga diberi peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan penyanyi lagu It’s You dan Moonlight, Ali Gatie.

Peluang yang dihulurkan syarikat rakamannya Warner Music Malaysia disifatkan bagai bulan jatuh ke riba, apatah lagi dia masih bertatih bersaing dengan penyanyi lain.
Memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga, Bunga berulang kali meluahkan rasa teruja saat berkongsi cerita tentang detik awal ditawarkan peluang melahirkan sebuah single duet dengan penyanyi kelahiran Yemen itu.
“Apabila dimaklumkan pihak pengurusan bahawa Warner Music antarabangsa telah memilih saya untuk duet bersama Ali Gatie, peluang itu seumpama impian menjadi nyata.
“Tanpa berlengah saya segera bersetuju dengan tawaran tersebut dan menganggap ini bakal menjadi pembuka pintu untuk saya mempertingkatkan kemampuan dalam industri,” terangnya teruja.
Bunga turut diberi kesempatan untuk menghasilkan sendiri lirik yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu. Ini menjadi kebanggaan buatnya apabila lagu berbahasa Melayu diperdengarkan ke peringkat antarabangsa.
Lirik lagu tersebut bercerita tentang penantian seseorang yang tidak sabar untuk bertemu dengan insan tersayang setelah terpisah sejak sekian lama.
Sebenarnya, peluang menulis sendiri lirik lagu tersebut didedikasikan buat barisan hadapan yang telah menjadi tulang belakang negara dalam memastikan keharmonian rakyat, khususnya sewaktu berdepan pandemik Covid-19.
“Lirik yang dihasilkan ditujukan kepada mereka yang berada di barisan hadapan terutama saat negara diserang pandemik Covid-19.
“Lirik itu seolah-olah luahan ahli keluarga mereka yang menanti kepulangan insan tersayang,” ujarnya tentang lagu Welcome Back.
Video lirik lagu berkenaan juga sudah boleh ditonton menerusi YouTube sejak 6 November lalu.
Selain Bunga, Welcome Back turut menyaksikan gandingan Ali Gatie bersama penyanyi muda asal Kanada, Alessia Cara.
Klip video lagu tersebut turut dimuat naik dalam YouTube pada September lalu dan kini telah mendapat lebih enam juta tontonan.

Penyanyi rap
Beralih tentang imejnya sebagai penyanyi, siapa sangka wanita bertudung dan berbaju kurung itu mengalirkan kecintaan muziknya atas jalur rap.
Berbeza dengan beberapa penyanyi lain yang turut memiliki penampilan bertudung seperti Wany Hasrita mahupun Najwa Latif.
Mereka lebih cenderung ke arah irama balada dan R&B, sementara Bunga, lebih selesa mendendangkan irama hip hop.
Bagi Bunga penampilannya sebegitu menyerlahkan keperibadiannya selain sejajar dengan tujuan kedatangannya dalam arus muzik tanah air.
Skeptikal terhadap penyanyi wanita yang menjadikan hip hop sebagai jalan karyanya tidak memiliki perwatakan seperti orang Melayu seharusnya tidak wujud.
Bunga turut berharap penampilan sedia ada dirinya diterima khalayak, sekali gus memberi ruang dan peluang untuk dirinya menyampaikan mesej positif menerusi lagu.
“Bagi yang tidak mengenali saya mereka pasti mudah mempersoalkan kemampuan rap saya.
“Tidak semestinya penyanyi rap perlu memiliki perwatakan kasar seperti artis Barat.
“Saya juga ingin mengubah pandangan khalayak dalam menilai kemampuan individu lain.
“Saya ingin menyampaikan mesej positif sekali gus menjadi inspirasi kepada pendengar.
“Dengan penampilan sebegini juga menyebabkan saya perlu berhati-hati dalam soal pemilihan lagu terutama melibatkan lirik,” jelasnya optimis.
Bunga yang juga gemar meluangkan masa dengan menulis puisi itu turut mencurahkan aura positif dalam penulisan lirik lagu bertajuk 300 saat hasil kolaborasi dengan penyanyi, Amzar.
Muzik video lagu berkenaan yang telah dimuat naik dalam YouTube sejak September lalu juga sudah mendapat lebih 500 ribu tontonan.
“Durasi 300 saat bersamaan dengan lima minit. Lirik lagu 300 Saat juga mempunyai mesej tersendiri khusus buat khalayak yang berdepan banyak masalah dalam kehidupan.
“Setiap daripada kita tidak dapat lari daripada masalah, justeru sekiranya berasa tertekan, ambil masa lima minit untuk tenangkan fikiran,
“Jadi itulah maksud tersirat dalam lagu tersebut. Saya berharap lagu tersebut mendapat sambutan baik daripada peminat,” terang pelajar jurusan Diploma Pentadbiran Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3 itu.

Peminat Joe Flizzow
Mula serius sebagai penyanyi rap sejak berusia usia 18 tahun, Bunga turut meluahkan hasrat untuk bekerjasama dengan idolanya iaitu bintang rap tersohor, Joe Flizzow.
Meskipun pernah muncul dalam program televisyen terbitan Joe bertajuk 16 Baris, Bunga tetap mempunyai impian besar iaitu berduet dengan bintang pujaannya itu.
Katanya, sejak kecil dia membesar dan mendengar lagu Joe Flizzow selain mengagumi keperibadian penyanyi terbabit.
“Mungkin selepas beberapa tahun pengalaman dan mempunyai lebih keyakinan terhadap kemampuan diri, saya akan mencari peluang bekerjasama
dengan Joe Flizzow.
“Saya bukan sekadar perlu kemahiran menyanyi tetapi memahami selok-belok industri sebelum mengambil langkah drastik berduet dengan penyanyi berkaliber,” jelasnya teruja.
Bunga turut berharap agar khalayak dapat menerima karya yang dihasilkan sementelah 300 Saat turut diangkat menjadi runut bunyi filem Aku, Bunga.
Keterlibatannya juga bukan sekadar penyanyi lagu runut bunyi, Bunga bahkan terlibat sebagai heroin filem arahan Kabir Bhatia itu yang ditayangkan menerusi Astro First Eksklusif pada Ogos lalu.
















