PETALING JAYA – Seramai 289 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 277 individu telah dikompaun manakala 11 individu pula direman dan seorang dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (108), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (59), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (51), rentas negeri atau daerah PKP Bersyarat tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (33),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 53,597 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan.
Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 2,931 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,367 anggota telah membuat pemantauan di 3,548 pasar raya, 4,668 restoran serta 1,379 penjaja, 1,299 kilang, 3,291 bank dan 621 pejabat kerajaan.
Juga dipantau, katanya, adalah 891 terminal pengangkutan darat, 557 terminal pengangkutan air serta 103 terminal pengangkutan udara.
Dalam pada itu, menurutnya, Operasi Benteng semalam berjaya menahan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI), seorang penyeludup serta merampas 9 kenderaan darat.
“Sebanyak 274 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (210), PDRM (54) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10),” katanya. – K! ONLINE














