fbpx

MEDAC sedia bantu sejuta golongan penjaja dan peniaga kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Junaidi ketika melancarkan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Tahun 2020 (HPPK2020) dan Pelancaran Platform WarongRider Peringkat Kebangsaan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Putrajaya, di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan membantu mendaftarkan kira-kira sejuta golongan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah bilangan itu diperoleh daripada Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM).

“Hasil perbincangan dengan persatuan didapati sehingga kini hanya 3,000 yang berdaftar dan ramai yang enggan berbuat demikian kerana bimbang dikenakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

“Selain itu, kebimbangan tidak mendapat bantuan daripada kerajaan juga antara faktor penyumbang golongan peniaga dan penjaja berdaftar dengan persatuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis PraPelancaran Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Tahun 2020 dan Pelancaran Platform Warong Rider Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, MEDAC melalui SME Corp bekerjasama dengan GPPPKMM melalui Program Micro Connector dalam memperkenalkan satu platform servis penghantaran Warong Rider yang boleh digunakan oleh semua golongan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

“Melalui kerjasama ini, rider di bawah platform Warong Rider akan dibekalkan dengan startup kit iaitu beg penghantaran serta pakaian seragam bernilai RM250 dengan 70 peratus daripada kos tersebut dibiayai oleh SME Corp melalui Program Micro Connector.

“Pembiayaan ini dilihat dapat membantu mengurangkan kos kepada golongan belia B40 yang menyertai platform dan sekali gus membuka peluang kepada mereka menjana pendapatan melalui perniagaan,” katanya.

Menurutnya, Warong Rider bukan sahaja bertujuan membantu usahawan dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil dalam menggunakan perkhidmatan mereka, malah menjana peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya belia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, sejak tempoh PKP sehingga kini, SME Corp melalui Program Micro Connector telah memperuntukkan dana sebanyak RM875,000 kepada 5,000 rider yang bakal menawarkan perkhidmatan penghantaran mereka ke seluruh negara.

“Di bawah program TEKUN, seramai 2,114 orang rider telah terima pembiayaan berjumlah RM17.5 juta di bawah Program TEKUN Mobilepreneur.

“Pembiayaan ini dilihat dapat membantu mengurangkan kos kepada golongan belia B40 yang menyertai platform dan sekaligus membuka peluang kepada mereka menjana pendapatan melalui perniagaan,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI